Ada sebab ikan keli meletup ketika digoreng, bahan ini boleh mengatasinya
MENGGORENG ikan mungkin kedengaran perkara paling mudah tapi boleh menjadi medan perang bagi sesetengah orang.
Apatah lagi yang tidak biasa ke dapur dan takut terkena percikan minyak ketika memasukkan ikan ke dalam kuali panas.
Paling mencabar kalau menggoreng ikan keli - confirm akan meletup! Bukan sahaja minyak terpercik tetapi satu dapur berminyak.

Lebih menakutkan jika minyak panas terpercik itu terkena pada tangan sehingga boleh mengakibatkan kulit melecur.
Sebenarnya, ikan keli akan meletup ketika digoreng kerana lendir dan air yang terkandung dalam badan ikan tersebut akan mengewap apabila terkena minyak panas.
Namun, situasi tersebut boleh dielakkan jika ikan keli dicuci dan dibersihkan dengan cara yang betul menggunakan tepung gandum.
MENARIK DIBACA: Pai daging cincang resipi penyelamat, anak-anak mesti suka!
MENARIK DIBACA: Tukar menu sihat buat anak-anak cuti sekolah ini, resipi nuget pisang sihat dan menyelerakan
Malah, ikan keli goreng yang dicuci dengan sempurna akan lebih rangup dan isinya tidak akan hancur.
Artikel kali ini, Kuali kongsikan petua untuk mengelak ikan keli meletup dan langkah menggorengnya supaya rangup.
Bahan-bahan
- Ikan keli
- Tepung gandum
- Tepung jagung
- Garam
- Kunyit
- Asam keping
Langkah-langkah
- Cuci ikan keli untuk menghilangkan darah dan kotoran.
- Kemudian gaul ikan keli yang telah dicuci bersih tadi dengan tepung gandum. Tujuannya untuk menghilangkan lendir.
- Lakukan proses ini sehingga lendir pada ikan keli betul-betul hilang kemudian cuci sehingga bersih lalu toskan.
- Gaul ikan keli tadi dengan tepung jagung, kunyit dan perasakan dengan garam secukupnya.
- Panaskan minyak kemudian masukkan beberapa keping asam keping. Tujuannya supaya ikan keli tidak melekat pada kuali.
- Masukkan beberapa potong ikan keli dalam minyak yang betul-betul panas.
- Angkat apabila ikan keli telah masak dan garing. Ikan keli bukan sahaja tidak meletup ketika digoreng, malah isi ikan keli juga tidak hancur.