Ramai tiru idea jus tembikai tak campur air, peniaga asal berlapang dada - "Teruskan, tak perlu minta izin"
SELEPAS perniagaan 'tembikai tak campur air' tular dan menjadi sensasi masyarakat, pemilik yang juga pencetus idea jualan tersebut mendakwa terdapat peniaga lain telah mula menjalankan usaha serupa.
Tidak marah apabila idea perniagaan yang dijalankan itu 'diciplak' pihak lain, isteri kepada peniaga asal jus tembikai yang dikenali sebagai Aida Yasmin menerusi perkongsiannya di Threads berkata dia berlapang dada dengan situasi yang berlaku.
Menurut Aida, dia lebih selesa menganggap bisnes kecil mereka bukan ditiru, cuma idea 'dipinjam' oleh peniaga lain.

"Dapat info ada seller (penjual) lain dah mula tiru kami jual air guna ice cube buah.
"Ada penjual yang baik sikit siap DM (mesej terus) minta izin buat benda sama.
"Kepada penjual-penjual itu, tidak mengapa. Awak bukan tiru, awak cuma pinjam idea sahaja," tulisnya di Threads.

Jelasnya lagi, idea bisnes yang dijalankan itu juga bukan sepenuhnya hak mereka kerana semuanya berbalik pada izin Allah.
"Idea kami ini pun bukan hak kami. Kalau Allah tak bagi ilham, kami pun tak dapat juga.
"Kami berlapang dada, teruskan apa yang awak buat, tak perlu minta izin," katanya.
Pada masa sama, Aida turut memberitahu suaminya juga tidak kisah tentang hal tersebut, cuma meminta orang ramai agar mendoakan mereka dimurahkan rezeki sahaja.
MENARIK DIBACA: Aiskrim santan lemak berkrim, terus segar tekak makan lepas berbuka
MENARIK DIBACA: Senang sangat! Tak sampai 10 minit ayam goreng kunyit siap, tambah telur mata dan kicap lagi sedap
"Suami saya pun kata tiada masalah.
"Doakan kami terus dimurahkan rezeki sahaja sudah memadai," katanya yang berniaga di Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur.
Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen memuji sikap pasangan suami isteri itu kerana tidak lokek dan terbuka untuk berkongsi rezeki.
Malah terdapat juga peniaga lain sanggup menukar perniagaan menjual aiskrim kepada jus tembikai tanpa air selepas usaha melariskan jualannya gagal.

"Sikap yang bagus. Tak ada pun nak meroyan cakap orang tiru idealah, tak minta izinlah. Semoga Allah memberikan rezeki mencurah-curah untuk awak dan suami. Amin.
"Awak adalah pencetus. Sebab idea awak inilah timbul ramai penjual jus tembikai tanpa air, jadi ada keberkatannya di situ.
"11 hari tak ada duit masuk sebab aiskrim tak ada sambutan. Lalu air tembikai viral awak, terus terjaga dari lena (laku). Terima kasih banyak-banyak," antara komen netizen.
"Kami berlapang dada, teruskan apa yang awak buat, tak perlu minta izin.
peniaga jus tembikai
Terdahulu, seorang peniaga mencuri perhatian pelanggan selepas jualan jus tembikai 'piyor (tanpa air) yang diusahakannya tular dalam media sosial.
Konsep unik itu menarik perhatian warga maya apabila peniaga berkenaan memaklumkan jus tembikai yang dijualnya dihasilkan 100 peratus daripada isi buah segar tanpa campuran air, gula atau bahan tambahan lain.
Difahamkan jus tembikai tersebut dijual pada harga RM4 untuk saiz kecil manakal RM6 untuk saiz besar.