Penangan filem Papa Zola... Kad ucapan pelanggan cilik hampir buat abang rider menangis, penat bekerja terus hilang
FILEM Papa Zola The Movie bukan sahaja menghiburkan tetapi ia meninggalkan kesan mendalam terhadap penonton terutamanya golongan kanak-kanak.
Pengorbanan seorang bapa demi keluarga yang bekerja sebagai penghantar makanan menyentuh perasaan dan ramai menyifatkan ia sebagai salah satu filem terbaik pernah dihasilkan.
Kemunculan filem itu turut memberi tempias positif terhadap golongan penghantar makanan atau lebih mesra dipanggil 'abang rider'.
Menerusi satu hantaran tular di TikTok, penghantar makanan dikenali sebagai Rith Sani berkongsi gelagat seorang pelanggan cilik memberi kad mesej istimewa ketika menghantar makanan ke rumahnya.

"Terima kasih abang Foodpanda. Terima kasih menghantar makanan untuk kami waktu sedang cuti sekolah.
"Abang sangat hebat! Kalau saya, saya penat tau! Abang pula, hebat sangat! Semoga dimurahkan rezeki," tulis kanak-kanak itu.
Rith berkongsi surat berisi mesej berkenaan bersama lakaran menunjukkan dua kanak-kanak sedang teruja melihat seorang rider berpakaian bak adiwira.
MENARIK DIBACA: Selalu ‘gaduh’ tapi tetap sayang... Pemandu Ojol jalan amanah rakyat Malaysia, serah makanan kepada golongan memerlukan
Menurut Rith, penat lelah sepanjang berkerja hilang sekelip mata sejurus membaca nota ringkas diberikan kanak-kanak itu.
"Lalu hilanglah semua rasa Lelah. Nasib abang pakai spek mata hitam adik," katanya.
Selain menerima mesej, lelaki itu mengakui perubahan ketara dirasakan apabila kebanyakan tempahan diterima pasti diselitkan tip sebagai tanda penghargaan.

Perkongsian itu memperoleh 310,000 jumlah tontonan malah turut mendapat perhatian pihak produksi Papa Zola The Movie sendiri menerusi perkongsian media sosial mereka.
Filem berkenaan mengisahkan tentang Papa Zola sebagai seorang bapa yang sangat gigih bekerja demi menyara keluarga sebagai penghantar makanan dan pemandu van sekolah.
Matlamatnya cuma satu iaitu mahu mengumpul duit secukupnya untuk membawa anaknya, Pipi Zola, pergi bercuti.
Sejak dua minggu tayangan, filem ini mencatat kutipan box office kira-kira RM43 juta menerusi pawagam tempatan.