[V] ‘De Wan 1958’ buka cawangan di The Exchange TRX, usaha Chef Wan martabat masakan Melayu
PEMBUKAAN restoran De Wan 1958 milik cef terkenal, Datuk Dr. Chef Wan, di pusat beli-belah mewah The Exchange TRX bukan sekadar penambahan cawangan baharu.
Sebaliknya, ia membuktikan hidangan tradisional Melayu mampu diketengahkan secara eksklusif dan mewah setanding dengan restoran antarabangsa lain.
Chef Wan atau Redzuawan Ismail, percaya sajian warisan tempatan tidak seharusnya dipersembahkan secara sambil lewa tanpa menitikberatkan soal kebersihan dan penyajian.
"Dari dulu lagi saya terfikir kenapa makanan Melayu hanya ada di kedai tepi jalan, warung atau lot kedai kecil.

"Standard kebersihan tidak terjaga kerana makanan terdedah berjam-jam di luar.
"Jadi saya melihat pelanggan perlu diraikan dengan suasana selesa, makanan dihidang pun elok siap dihias cantik bak lauk pengantin," kongsinya kepada Kuali.
Chef Wan berkongsi perkara itu ketika hari pertama pembukaan cawangan ke-13 restoran De Wan 1958 yang terletak di The Exchange TRX pada Isnin.
Melalui De Wan 1958, sajian seperti gulai, rendang dan aneka lauk pauk tradisi Melayu diangkat ke tahap lebih tinggi tanpa menghilangkan identiti asal.
MENARIK DIBACA: Pizzaiolo perkenal piza saiz poket, lebih praktikal tetap mengenyangkan
MENARIK DIBACA: Saiz ayam besar dan puas makan, harga pula cukup berpatutan
Malah, langkah membuka restoran Melayu di lokasi mewah seperti TRX disifatkan berani memandangkan ia jarang dilakukan sebelum ini.
"Memandangkan repertoire masakan Melayu memang besar, saya mengambil risiko membuka restoran pertama lapan tahun lepas.
"Sebab pada ketika itu, belum ada lagi restoran Melayu yang sanggup berbelanja berjuta-juta ringgit untuk operasi sebuah restoran.
"Orang selalu anggap mampu ke makanan Melayu berjaya? Saya yakin kalau restoran Thailand, India bahkan Cina boleh buat. Takkan kita tak mampu!" ujarnya lagi.

Berkongsi lanjut, Chef Wan mengakui masakan di restorannya tidak sepenuhnya terikat dengan resipi asal, tetapi ditambah baik dari segi teknik dan persembahan.
Jelasnya, sebagai cef, dia terbuka untuk meneroka teknik masakan luar dan mengadaptasikannya dalam hidangan disajikan kepada pelanggan.
"Makanan di restoran saya bukanlah 100 peratus sama dengan resipi asal. Kalau tengok ada sedikit berubah, tetapi rasa tetap sedap.
"Menjadi seorang cef Melayu yang berjaya, perlu sentiasa meneroka cara masakan orang dari luar negara.

"Jadi segala teknik memasak, penggunaan rempah ratus untuk masakan Asia, kita cuba terapkan dalam setiap hidangan di sini," jelasnya.
Antara hidangan Melayu yang disajikan di De Wan 1958 seperti Nyonya Kari Laksa (RM29), Chik Ani's Mee Rebus (RM28), Chef Wan's Soto Ayam (RM28).
Selain itu, Kambing opor hijau bersama nasi minyak badam (RM38) serta Ikan Tenggiri Sambal Petai bersama Nasi Kukus (RM38) turut menjadi antara menu pilihan.
Lokasi: L1.46, The Exchange TRX Mall, Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur
Waktu operasi: 10 pagi - 10 malam (setiap hari)