KUALI | Trending

Tak masuk akal! Seekor ikan tuna dijual RM6 juta, simbolik tuah dan keberuntungan di Jepun

Lead Image

PERCAYA atau tidak, seekor ikan tuna sirip biru boleh terjual pada harga setaraf sebuah kereta mewah di Jepun.

Fenomena ini berlaku menerusi acara lelongan yang diadakan pada awal tahun ini dan turut mendapat perhatian media dan pencinta sushi seluruh dunia.

Tradisi lelongan tahun baharu, dikenali sebagai hatsuseri, kembali mencuri perhatian apabila seekor tuna gergasi seberat 276 kilogram dilelong pada harga RM5.8 juta di Pasar Ikan Toyosu, Tokyo.

Tuna ini dibeli oleh Onodera Group, rangkaian restoran sushi bertaraf Michelin dan ikan gergasi itu menjadi tuna kedua paling mahal pernah dijual dalam sejarah lelongan di Jepun.

Acara tahunan lelongan tuna terbaik di Tokyo.

Jika dibandingkan dengan rekod pada 2019, seekor tuna seberat 278 kilogram dibeli pada harga RM12.74 juta oleh pemilik restoran sushi Sushizanmai, Kiyoshi Kimura.

Pembelian ini menjadikan ia tuna termahal dunia, rekod itu kekal selama enam tahun.

Acara lelongan tuna ini bukan sekadar soal nilai tetapi ritual budaya dan simbolik dipercayai membawa tuah dan keberuntungan perniagaan sepanjang tahun.

MENARIK DIBACA: Kongsi resipi masakan Cina versi halal, percubaan Jia Le Woh erat perpaduan melalui makanan berjaya

MENARIK DIBACA: Cinta The Rock Chilli Queen terhadap habanero tetap membara

Lelongan pertama tahun ini menjadi medan persaingan sengit dalam kalangan restoran sushi premium, yang berlumba-lumba mendapatkan tuna terbaik untuk menarik perhatian pelanggan.

Acara lelongan ini tidak hanya menumpukan tuna sirip biru tetapi turut merangkumi tuna sirip kuning, tuna mata besar dan tuna skipjack.

Harga tinggi mungkin sukar diterima akal, tetapi ia menunjukkan obsesi penggemar sushi premium dan pemain industri kulinari Jepun.

 

 Pemilik restoran sushi Sushizanmai, Kiyoshi Kimura pernah pegang rekod sebagai pembida tuna paling mahal.

Setiap potongan tuna bukan sekadar makanan, ia adalah simbol status dan kepuasan sukar ditandingi, terutama bahagian paling berlemak dan lembut seperti otoro.

Tuna yang ditangkap dari perairan Oma, wilayah Aomori, turut terkenal kerana tekstur lembut dan kandungan lemak seimbang.

Faktor tersebut menjadikan tuna dari perairan ini pilihan utama untuk sushi kelas premium, dicari oleh restoran-restoran bertaraf dunia untuk menyajikan hidangan terbaik kepada pelanggan.

Bagi pencinta sushi, fenomena ini bukan sahaja menarik kerana harganya, tetapi kerana ia menonjolkan tradisi, prestij dan seni kulinari Jepun di mana satu ikan boleh menjadi ikon budaya, simbol kemewahan, dan bualan dunia.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

Peniaga tergamam individu minta 'sponsor' 180 pek tiramisu, beri alasan permintaan majikan - “Bos semua cakap sedap”

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

Dua tahun beroperasi, Shiha Zikir tutup kedai nasi ayam cawangan Shah Alam

Terhangat