Kongsi resipi masakan Cina versi halal, percubaan Jia Le Woh erat perpaduan melalui makanan berjaya
MELIHAT karakter pempengaruh masakan berbangsa Cina ini berceloteh dalam media sosial kadang-kala boleh menggeletek hati sesiapa sahaja.
Walaupun pertuturannya dalam Bahasa Melayu kedengaran agak tunggang-langgang, namun ia tetap disampaikan dengan penuh yakin.
Paling penting, isi dan penerangan diterangkan tetap sampai dan boleh difahami oleh pengikutnya yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Bagi pemilik nama Jia Le Woh, kehadirannya sebagai pempengaruh dan cef media sosial punya matlamat dan tujuan tersendiri.

Antaranya untuk berkongsi resipi masakan kaum Cina dalam versi halal supaya pengikut beragama Islam dapat mencuba dan merasai keenakan rasa autentik hidangan itu.
Rakan Melayu minta kongsi resipi
Berkongsi kisah perjalanannya membina nama sebagai pempengaruh masakan, pemuda berusia 28 tahun itu ketika ditemui Kuali memberitahu semuanya tercetus selepas dia diminta berkongsi resipi oleh beberapa kenalannya berbangsa Melayu.
"Saya masih ingat lagi ketika itu negara mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas dunia berdepan dengan pandemik Covid-19.
"Sewaktu itu saya telah berhenti kerja sebagai tukang masak di sebuah hotel dan pulang ke kampung. Sepanjang PKP, ramai rakan saya berbangsa Melayu bertanyakan resipi masakan Cina sebab mereka mahu cuba masak sendiri di rumah.
"Saya pula tak kisah berkongsi resipi, cuma saya malas nak jawab satu persatu. Jadi saya buat sebuah video masakan dan kongsi dalam media sosial," ujar anak jati kelahiran Batu Pahat, Johor itu.
MENARIK DIBACA: Bosan dengan carbonara dan bolognese, kena cuba resipi spageti tomyam berkrim
MENARIK DIBACA: [V] Hidup berdikari di AS banyak hikmah, Juliana Evans kini cekap memasak - “Tapi tengok ‘mood’ juga”
Ujar Le Woh, itulah titik permulaan dia membuat video masakan dalam media sosial walaupun ketika itu namanya masih belum dikenali seperti hari ini.
Sehinggalah pada suatu hari, seorang kenalannya yang merupakan seorang guru memberikan idea supaya dia berkongsi video masakan menggunakan Bahasa Melayu pula.
"Uniknya, kawan saya ini berbangsa Cina, namun mengajar subjek Bahasa Melayu di sebuah sekolah menengah. Dialah yang memberi galakan dan tunjuk ajar kepada saya untuk buat video masakan dan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu.
"Tak sangka, percubaan itu berjaya dan perlahan-lahan nama saya makin dikenali," katanya.
Kongsi keunikan masakan Cina
Bercerita tentang keunikan masakan Cina oleh bangsa lain, Le Woh yang memiliki kelulusan dalam pengkhususan masakan Chinese Fusion, dari sebuah pusat pengajian swasta di Kuala Lumpur itu tidak menolak masakan Cina memiliki cara dan olahan sendiri sehingga menciptakan aroma mampu membuatkan sesiapa sahaja tertarik.

Namun, sebagai individu yang tinggal di sebuah negara berbilang kaum, Le Woh berasa terpanggil untuk memberi sentuhan 'halal' pada masakan Cina supaya setiap budaya dan bangsa di Malaysia dapat sama-sama menikmati keunikan masakan Cina.
"Resipi masakan Cina yang saya kongsikan tidak lari daripada versi asal walaupun tanpa menggunakan bahan masakan tidak halal seperti arak dan daging khinzir.
"Antara video saya yang mendapat sambutan ialah resipi kuey keow Kantonis atau Cantonese Char Kuey teow, iaitu masakan popular di restoran masakan Cina.
"Menu lain yang pernah saya kongsikan ialah bak kut teh versi halal dengan menggantikan daging khinzir kepada ayam dan juga bak chang," kata lelaki dengan karakter bersahaja itu.

Ketika disoal tentang perasaannya apabila idea serta resipi yang dikongsikan diterima baik masyarakat berbilang kaum di Malaysia, Le Woh tidak dapat mengawal perasan terharu kerana berjaya menyatupadukan masyarakat di negara ini melalui makanan.
Kata pemuda berkaca mata itu, sebagai anak Malaysia, asalkan ia tidak melanggar norma dari segi hukum agama sesuatu bangsa.
"Sudah tentu saya terharu dan gembira apabila ramai memberi sokongan terhadap resipi yang saya kongsikan.
"Tujuan saya hanya untuk berkongsi resipi masakan Cina dalam versi halal supaya rakan-rakan serta pengikut saya boleh sama-sama rasai hidangan yang belum pernah mereka makan.
"Malah, saya juga banyak belajar tentang masakan daripada budaya lain. Pendek kata kita saling bertukar-tukar resipi," jelasnya.
Perpaduan dalam masakan
Pernah berkhidmat sebagai cef di beberapa buah hotel terkemuka di Malaysia, Le Woh tidak merancang untuk kembali semula ke dapur hotel sebagai tukang masak kerana telah menemui jalannya sendiri sebagai cef di media sosial.
Katanya, bidang yang dia lakukan sekarang telah banyak memberinya kelebihan terutama dalam membuktikan Malaysia sebagai sebuah negara yang harmoni dan majmuk.
Tujuan saya hanya untuk berkongsi resipi masakan Cina dalam versi halal.
Le Woh
"Saya tidak pernah menyesal meninggalkan dapur hotel mewah dan memilih untuk menjadi cef media sosial.
"Sejak saya ambil keputusan untuk terlibat dalam bidang masakan, saya anggap dunia kulinari ini sebagai jodoh saya.
"Selain keluarga yang menjadi tulang belakang saya, rakan-rakan serta pengikut juga banyak memberi dorongan dan ilham untuk saya terus kukuh dan melebar sayap dalam bidang ini," katanya tersenyum.