Dua tahun beroperasi, Shiha Zikir tutup kedai nasi ayam cawangan Shah Alam
SELEPAS hampir dua tahun beroperasi, penyanyi Shiha Zikir mengumumkan restoran miliknya, Shiha Zikir Nasi Ayam di Seksyen 7, Shah Alam, terpaksa ditutup atas alasan penstrukturan semula perniagaan.
Meskipun berat hati, Shiha atau Nurshiha Mohd Zikir, 38, berkata keputusan itu dibuat bagi memberi fokus kepada sebuah lagi cawangannya di Kampung Baru.
"Cawangan Shah Alam tutup sebab ini adalah sebahagian daripada penstrukturan semula perniagaan ini.

"Selepas team saya nilai operasi dan hala tuju jenama, kami membuat keputusan untuk memberi fokus kepada cawangan yang lebih strategik buat masa ini," katanya kepada Kuali.
Bagaimanapun, penyanyi itu tidak menolak kemungkinan untuk membuka cawangan baharu di lokasi lain pada masa akan datang.
"Insya-Allah tengah mencari juga tempat-tempat lain yang lebih sesuai. Operasi kedai di Kampung Baru seperti biasa," ujarnya lagi
Sebelum itu, Shiha turut berkongsi perkhabaran berkenaan menerusi hantaran di laman Thread pada Isnin.
MENARIK DIBACA: [V] Dottie dan kari tak boleh dipisahkan, juadah wajib sejak kecil
MENARIK DIBACA: [V] Obsesi terhadap makanan pedas bawa padah, Tiz Zaqyah derita masalah gastrik
Dalam hantaran tersebut, pelantun lagu Angan itu sempat merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi sokongan sepanjang operasi restorannya di Shah Alam.
"Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pelanggan yang telah menyokong kami sepanjang hampir 2 tahun di seksyen 7, Shah Alam.
"Setiap sokongan, setiap kunjungan dan setiap doa amat saya hargai dari hati," jelasnya.