Terbeban kos sara hidup tinggi, mahasiswa ini terpaksa makan makanan kucing... Dakwa kaya kandungan protein bina otot
GARA-GARA kos sara hidup yang tinggi di Switzerland memaksa seorang mahasiswa Ijazah Doktor Falsafah (PhD) asal China menjadikan makanan kucing sebagai sumber protein untuk memenuhi keperluan nutrisinya setiap hari.
Mungkin kedengaran agak aneh, namun itulah realiti harus dilalui seorang pemuda digelar 'lelaki China paling jimat di Switzerland' sehingga kisahnya menjadi tular dalam media sosial.
Memetik laporan South China Morning Post, pemuda yang tidak didedahkan identitinya itu merupakan seorang mahasiswa dalam jurusan perubatan yang sedang menuntut di salah sebuah institut penyelidikan ternama di Switzerland.
Ketika berhijrah ke negara tersebut, difahamkan lelaki itu berjaya menabung sebanyak AS$42,000 (RM177,240) semasa bekerja di Shanghai.

Bagaimanapun, ternyata wang dibawa untuk memenuhi keperluannya sebagai pelajar di Switzerland tidak mencukupi kerana berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi di negara terbabit.
“Di Switzerland, seorang pelajar PhD biasanya memerlukan antara AS$1,300 (RM5,484) hingga AS$2,000 (RM8,438) sebulan.
"Saya melihat ramai pelajar PhD terpaksa berhenti separuh jalan kerana tidak mampu menanggung kos sara hidup di sini.
MENARIK DIBACA: Enam jenis bunga ini boleh dimakan! Cef tunjuk cara buat manisan memikat selera
MENARIK DIBACA: [V] Rupanya pucat dan rasanya hambar! Cicah dengan sambal ‘berapi’ baru tahu kehebatan sate taichan
"Saya tidak mahu menjadi salah seorang daripada mereka,” kata pemuda tersebut.
Demi meneruskan hidup, mahasiswa tersebut terpaksa melakukan langkah penjimatan dengan cara yang mungkin dianggap jijik iaitu menjadikan makanan kucing sebagai sumber keperluan tenaga dan juga protein dalam diet hariannya.
Menurutnya, makanan kucing tersebut dibeli di pasaraya Migros di Switzerland pada harga AS$5 (RM21) untuk satu beg makanan kucing seberat tiga kilogram.

Sebagai pelajar jurusan perubatan, pemuda itu telah melakukan kajian dan mendapati makanan kucing membekalkan 32 peratus keperluan protein yang baik untuk pertumbuhan otot manusia.
"Ramai yang terkejut namun selepas dihitung, satu bungkus makanan kucing seberat tiga kilogram dan mengandungi 32 peratus protein adalah pilihan paling berbaloi berbanding makanan lain.
"Malah makanan kucing sebenarnya tidaklah seburuk seperti yang disangka," jelasnya.

Bagaimanapun berdasarkan pengalaman, mahasiswa itu memberitahu tidak mengambil makanan kucing bersama susu kerana boleh menyebabkan bau kurang menyenangkan.
Sebaliknya dimakan bersama kekacang untuk mengurangkan bau selain lebih mengenyangkan.
Selain makanan kucing, mahasiswa itu juga akan menderma darah dan menjadikan ia rutin semata-mata untuk mendapatkan makan tengah hari percuma.
"Saya akan diberikan sandwic, sup panas, makanan ringan dan gula-gula getah yang dihidangkan seperti bufet," katanya yang bakal menyertai program lawatan akademik di Universiti Harvard, Amerika Syarikat tidak lama lagi.