Poster 'durian percuma' dianggap kelirukan pengguna, KPDN sahkan promosi tiada unsur penipuan
SEBUAH premis jualan durian di Bulatan Cempaka, Kota Bharu, Kelantan menjadi perhatian selepas papan tanda promosi ‘durian percuma’ tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Menerusi video tular tersebut, peniaga terbabit dilihat memasang poster untuk 'memancing' perhatian orang ramai yang lalu di kawasan itu.
Bagaimanapun, apabila diteliti dengan lebih dekat terdapat satu lagi ayat sambungan yang ditulis dalam saiz lebih kecil pada papan tanda berkenaan iaitu 'Durian percuma untuk ambil bau sahaja! Kalau nak ambil buah kena bayar'.
Susulan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menjalankan pemeriksaan di lokasi berkenaan bagi meneliti dakwaan berhubung iklan itu yang dikatakan mengelirukan atau mempunyai unsur penipuan.

Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, hasil pemeriksaan pada Isnin mendapati tiada sebarang pelanggaran atau unsur iklan mengelirukan seperti yang didakwa.
“Semakan ke atas premis mendapati tanda harga dipamerkan adalah jelas dan harga jualan yang dikenakan kepada pelanggan adalah selaras dengan apa yang dipamerkan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa alat timbang yang digunakan masih sah diperakukan dan mempunyai tempoh pengesahan sehingga 2 Jun tahun hadapan.
MENARIK DIBACA: Piala Dunia 2026: Penyokong merungut makanan di stadium mahal, harga 2 set 'hotdog' hampir RM200
MENARIK DIBACA: Wajah lebih berseri, parut pudar dan rambut berkilat lepas amal minum kolagen sisik ikan
Dalam masa sama, pihak premis telah mengambil langkah segera dengan memperjelaskan maksud sebenar pada papan iklan yang tertulis ‘durian percuma jika rasa di sini sahaja, untuk dibawa pulang perlu dibayar’.
Hasil siasatan juga mendapati pelanggan dibenarkan untuk merasai durian secara percuma di premis berkenaan tanpa sebarang bayaran.
Bagaimanapun, KPDN menasihatkan serta memberi amaran kepada semua pengusaha premis agar sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan dan memastikan setiap promosi tidak mengelirukan atau memanipulasi pengguna.
Selain itu, peniaga juga diingatkan supaya sentiasa mengemas kini serta mempamerkan tanda harga yang jelas, tepat dan mudah difahami bagi setiap barangan yang dijual.