Tak sedar risiko... Ibu, anak teruja makan snek cecair nitrogen - "Sakit lidah mama, korang relaks je"
SATU perkongsian di laman Threads mencuri perhatian apabila seorang wanita berkongsi pengalamannya mencuba snek cecair nitrogen atau lebih dikenali ‘dragon’s breath’ yang pernah tular tidak lama dulu.
Lebih mengejutkan, snek berkenaan turut diberikan kepada anak-anaknya walaupun ia dikatakan mengandungi bahan berisiko dan tidak selamat untuk dimakan.
"Budak-budak ni suka betul beli benda ni, RM10 ye. Mama cuba la seketul sakit lidah mama. Korang relaks je," kongsi wanita tersebut.
Perkongsian itu kemudian dihujani pelbagai komen netizen yang rata-ratanya bimbangkan tahap keselamatan makanan berkenaan terutama jika diberikan kepada kanak-kanak.
"Hmm ais kering kak, kami nak pegang ais kering terus kulit pun bahaya, macam mana peniaga boleh terfikir nak letak bawah makanan? Bahaya kak ais kering ni," tulis seorang warganet.
Terdapat juga netizen mendakwa pernah mengalami kesan melecur selepas makan makanan itu.

"Saya beli dekat uptown Setapak melecur dalam mulut kena tahan wad, akhirnya kedai tu kena tutup sebab klinik kesihatan pergi kedai dia," katanya.
Tidak kurang juga yang memberi peringatan kepada ibu bapa agar lebih berhati-hati dan tidak membenarkan anak-anak mencuba makanan yang tidak diketahui tahap keselamatannya.
"Mak bapa jangan la bagi anak makan benda bukan-bukan. Tertelan sebiji tu melecur organ tau," ujar netizen lain.
Dalam masa sama, ada juga yang mengaitkan isu keselamatan bahan tersebut dengan insiden di luar negara serta amaran pihak berkuasa kesihatan.
MENARIK DIBACA: Wanita terkedu mahkamah persoal anak makan 3 kali sehari, ada halia dalam resit tuntutan nafkah
MENARIK DIBACA: Teh putik bunga ros banyak khasiat, patut jadi minuman ‘rahsia’ kaum wanita
"Tak silap ada yang meninggal lepas makan benda nitrogen kat India," dakwa seorang warga maya.
Selain itu ada yang menyebut bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pernah mengeluarkan notis berkaitan bahaya penggunaan bahan berkenaan sebelum ini.
Seorang warganet mendakwa mempunyai latar belakang dalam bidang makmal perubatan turut menjelaskan bahawa cecair nitrogen digunakan dalam persekitaran terkawal dan berisiko tinggi jika terkena tisu manusia.

"Saya graduan medical lab technologist. Dalam makmal, cecair nitrogen memang kita guna untuk bekukan tisu dengan cepat dan sebelum dekat dengan tangki dia memang kena pakai PPE (alat pelindung diri) lengkap.
"Jadi saya memang tak faham macam mana ada orang boleh dengan yakin letak benda tu dalam mulut sedangkan kita tahu sejuk melampau boleh sebabkan frostbite dan kecederaan serius.
"Lagi pelik ada yang sanggup bagi pada anak sendiri. Saya betul-betul pening fikir macam mana benda macam ni boleh dianggap selamat oleh sesetengah orang," katanya.
Terdapat juga dakwaan netizen bahawa kecederaan serius seperti lidah berdarah berlaku selepas makan makanan yang mengandungi bahan sejuk melampau itu.
"Anak dan suami saya makan sampai lidah berdarah. Banyak pula tu darah keluar sebab kulit lidah macam tersiat. Terus seram nak makan dah. Nasib tak berlubang lidah," luahnya.
Lebih membimbangkan, ada yang mendakwa makanan berkenaan masih dijual walaupun isu keselamatannya sudah lama diperkatakan.
"Dah 2026 ni ada lagi menjual ya. Bukan ke dah dipesan benda ni bahaya. Banyak dah berita keluar.. dia guna cecair nitrogen,” tulis seorang lagi netizen.