Harga durian jatuh mendadak, peluang orang ramai nikmati Black Thorn
MUSIM durian kali ini membawa khabar gembira buat peminat raja buah apabila harganya di seluruh negara dilaporkan jatuh mendadak susulan lambakan bekalan di beberapa negeri.
Menurut laporan media antarabangsa, harga durian jenis premium seperti Black Thorn kini turun serendah S$4 (RM13) sekilogram, sekali gus mencatatkan antara paras terendah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Penurunan harga ini berlaku apabila musim tuaian di beberapa negeri utama seperti Perak, Pahang dan Johor mula memasuki fasa puncak.
Harga dijangka terus menurun sekitar 10 peratus lagi pada minggu hadapan berikutan peningkatan hasil tuaian.
Seorang peniaga durian di Kedah, Lai Jingqun yang juga pemilik gerai 668 Durian King memaklumkan harga Black Thorn di premisnya kini dijual antara RM13 hingga RM15 sekilogram bergantung kepada saiz dan kualiti buah.

Bukan itu sahaja, varieti popular lain seperti Musang King turut mencatatkan penurunan harga ketara berbanding tahun lalu.
"Kalau nak dibandingkan dengan tahun lepas, harga jatuh sekitar 20 hingga 30 peratus. Ini antara harga paling rendah dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya, sambil menyifatkan situasi itu sebagai masa terbaik untuk orang ramai menikmati durian.
Tambahnya lagi, keadaan itu dipercayai berpunca daripada faktor cuaca yang baik serta hasil pengeluaran yang meningkat apabila pokok durian berbunga dan berbuah dengan baik pada penghujung tahun lalu.
MENARIK DIBACA: Mentua 'anti' MSG, menantu 'seludup' dalam diam! Setiap kali masak dapat pujian melambung
MENARIK DIBACA: Piala Dunia 2026: Penyokong merungut makanan di stadium mahal, harga 2 set 'hotdog' hampir RM200
Sementara itu, pasar raya FairPrice di Singapura turut mencuri tumpuan apabila mengadakan jualan kilat durian dengan menawarkan durian kampung seberat 600 hingga 800 gram pada harga serendah RM8 sebiji.
Promosi tahun ini juga diperluaskan ke tiga lokasi berbeza pada hujung minggu berlainan.
Dengan penurunan harga yang ketara ini, peminat durian pastinya tidak mahu melepaskan peluang menikmati raja buah pada harga lebih mesra poket.