Popular bulan Muharam, adakah sajian bubur Asyura disebut dalam al-Quran dan hadis?
AMALAN memasak bubur Asyura pada setiap 10 Muharam sudah menjadi tradisi masyarakat Islam di Malaysia.
Biasanya aktiviti memasak dilakukan secara bergotong-royong dan bubur diagihkan kepada keluarga, golongan fakir serta masyarakat setempat.
Bagaimanapun timbul juga persoalan dalam kalangan masyarakat adakah amalan ini mempunyai sandaran yang sahih daripada al-Quran dan hadis atau sekadar adat semata-mata?
Menurut penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat pihak yang mengaitkan amalan bubur Asyura dengan kisah Nabi Nuh AS ketika berdepan banjir besar.
Diceritakan bahawa setelah bahtera Baginda berlabuh pada hari Asyura, Nabi Nuh AS mengarahkan pengikutnya mengumpulkan baki makanan untuk dimasak dan dimakan bersama.
Riwayat kisah ini turut dinukilkan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani dalam karya sirahnya namun ia tidak mempunyai sandaran nas yang sahih daripada al-Quran atau hadis Nabi SAW, sebaliknya hanya termasuk dalam riwayat sejarah yang diceritakan oleh para ulama.

Ulama bagaimanapun menjelaskan bahawa ia masih boleh dijadikan pengajaran dan ibrah (pelajaran) selagi tidak melibatkan perkara akidah atau hukum yang memerlukan dalil yang ketat, memetik penulisan tersebut.
Dalam konteks amalan memasak bubur Asyura di Malaysia, ia dilihat sebagai adat yang tidak bercanggah dengan syarak.
Malah, ia membawa nilai positif seperti mengeratkan silaturahim dan menggalakkan budaya bersedekah dalam masyarakat.
Secara asasnya, para ulama menggunakan kaedah fiqh:
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: Hukum asal sesuatu perkara adalah harus selagi tiada dalil yang mengharamkannya.
MENARIK DIBACA: Tak sedar risiko... Ibu, anak teruja makan snek cecair nitrogen - "Sakit lidah mama, korang relaks je"
MENARIK DIBACA: Mentua 'anti' MSG, menantu 'seludup' dalam diam! Setiap kali masak dapat pujian melambung
Justeru, amalan memasak bubur Asyura dan mengagihkannya adalah harus selagi ia tidak bercanggah dengan syarak.
Sebahagian ulama turut menukilkan syair yang dikaitkan dengan amalan makanan pada hari Asyura sebagaimana yang dihimpunkan oleh Ibn Hajar al-Asqalani dalam karya-karyanya yang menyebut jenis-jenis bijirin seperti beras, gandum, kacang dan lain-lain.

Selain itu, menurut penjelasan ulama, sikap masyarakat terdahulu yang mengamalkan sesuatu tradisi yang tidak bercanggah dengan syarak tidak sepatutnya ditolak secara keras hanya kerana tiada hadis sahih khusus mengenainya.
Pendekatan ini juga selari dengan sikap ulama seperti yang dinukilkan oleh Ibn Abd al-Barr yang menggambarkan adab ulama dalam meraikan amalan masyarakat selagi berada dalam konteks keharusan.
Walaupun tradisi bubur Asyura dianggap sebagai adat yang harus, umat Islam tidak seharusnya meninggalkan amalan yang lebih utama pada hari Asyura iaitu berpuasa.
Rasulullah SAW bersabda bahawa puasa Asyura menghapuskan dosa setahun yang lalu (Riwayat Muslim) dan turut disebut dalam riwayat lain bahawa Baginda mengharapkan penghapusan dosa setahun sebelumnya (Riwayat Ibn Majah).
Selain berpuasa, sebahagian ulama turut menggalakkan pelbagai amalan pada hari Asyura seperti bersedekah, menziarahi orang alim, membantu keluarga, menziarahi orang sakit dan mengeratkan silaturrahim.
Ia termasuk dalam amalan kebajikan yang membawa manfaat kepada masyarakat.