KUALI | Sajian Warung

[V] Rupanya pucat dan rasanya hambar! Cicah dengan sambal ‘berapi’ baru tahu kehebatan sate taichan

Lead Image

KALAU berkunjung ke Indonesia, jangan lupa untuk cari dan rasai sendiri keunikan rasa sate taichan yang banyak dijual di pinggir-pinggir jalan.

Tidak seperti sate di Malaysia pada umumnya yang diperap dengan rempah-ratus dan dicicah dengan kuah kacang, sate taichan memiliki warna putih pucat serta dimakan bersama kuah sambal yang sangat pedas.

Lebih unik lagi, sate taichan dihidangkan bersama potongan limau nipis untuk diperah pada sate, sekali gus membangkitkan sensasi rasa masam, selain serbuk perasa untuk memberikan rasa masin pada sate yang dihidangkan.

Kunjungan Kuali ke Jakarta baru-baru ini sempat menikmati hidangan sate taichan yang tidak pernah ditemui di Malaysia, berbeza dengan sate Minang atau sate Padang.

Terdapat tiga jenis sate taichan yang dihidangkan iaitu ayam, daging dan campur iaitu gabungan antara isi ayam, daging dan usus dalam satu tusuk.

Rasa sate taichan agak hambar dan kuah sambalnya terlalu pedas.

Pertama kali merasai sate taichan, rasanya sedikit hambar kerana diberitahu ia sate tidak diperap dengan rempah ratus seperti kebiasannnya, sebaliknya hanya dilumur garam dan dibakar begitu sahaja.

Tidak hairanlah jika sate taichan dihidangkan bersama limau nipis dan serbuk perasa untuk menaikkan rasanya.

Tetapi apabila dicicah bersama kuah sambal membuatkan telinga terasa seperti dibakar api kerana tahap kepedasannya tidak terhingga.

Mungkin bagi lidah warga tempatan, tahap kepedasan pada kuah sambal tersebut hanya biasa-biasa sahaja, tetapi tidak bagi orang luar yang menganggap kuah sambal sangat pedas sehingga menggigit bibir.

MENARIK DIBACA: ZUS Indulgence Cake gabungan 2 rasa inovasi jenama tempatan

MENARIK DIBACA: Asyik goreng jer, apa kata cuba masak sambal tumis telur hancur pula

Bagaimanapun, harga untuk hidangan satu set sate taichan boleh dikatakan cukup murah iaitu 16.000 rupiah (RM4.08) untuk 10 cucuk sate.

Sekadar info, sate taichan menjadi makanan popular dalam kalangan anak-anak muda kerana memiliki rasa khas dan tersendiri.

Selain itu, rasa sambalnya yang pedas juga menjadi salah satu daya penarik yang menjadi keunikan sate taichan.

Memetik sumber dari @holycowsteak.com, terdapat beberapa versi tentang asal-usul sate taichan.

Sate taichan di Indonesia dihidangkan bersama kuah sambal pedas, limau nipis dan serbuk perasa.

Antaranya, sate taichan berawal dari kisah seorang pelanggan sate asal Jepun yang singgah untuk menikmati hidangan sate Madura di sebuah warung di Jakarta.

Pelanggan tersebut dikatakan tidak suka dengan kuah kacang yang dihidangkan dan meminta sate dibakar tanpa diperap dengan rempah-ratus dan cukup sekadar dilumur dengan garam.

Sate yang siap dibakar itu kemudiannya dihidangkan bersama limau nipis dan sambal.

Ketika penjual bertanya tentang nama sate tersebut, pelanggan asal Jepun itu menyebut 'taichan' - maka lahirlah sate taichan seperti yang dapat dilihat pada hari ini.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Sajian Warung

Keropok lekor 'gemok' Pasar Payang jadi buruan, isinya padat memang puas makan

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Sajian Warung

[V] Versi nasi bujang Indonesia? Nasi gultik cuma RM3 tapi memang menjilat jari, tak puas sepinggan!

Terhangat