Jangan panik! Madu dan minyak kelapa berkesan rawat tangan melecur terkena minyak panas
KEMALANGAN kecil di dapur seperti terkena air panas atau minyak masak adalah perkara biasa terutamanya ketika memasak.
Namun jika tidak dirawat dengan betul, luka melecur boleh menyebabkan parut kekal atau jangkitan kuman yang boleh membahayakan kesihatan.
Berikut Kuali kongsikan beberapa petua tradisional dan moden untuk merawat tangan melecur dengan selamat dan berkesan.

1. Sejukkan dengan air mengalir
Langkah pertama dan paling penting ialah alirkan kawasan melecur di bawah air paip sejuk (bukan ais) selama 10-20 minit.
MENARIK DIBACA: Ada rahsia putihkan baju kusam guna bahan di dapur! Cuka dan lemon antara paling berkesan
MENARIK DIBACA: Teknik rendam kena betul, ini petua pulut kuning kekal lembut dan tahan lama
Ini membantu mengurangkan suhu kulit, menenangkan rasa sakit dan mencegah luka daripada menjadi lebih teruk.
Elakkan guna ais atau air sangat sejuk kerana boleh merosakkan tisu kulit.

2. Jangan pecahkan lepuh
Jika melecur menyebabkan lepuh terbentuk, jangan pecahkan lepuh tersebut.
Lepuh bertindak sebagai pelindung semula jadi kulit daripada jangkitan.

3. Lidah buaya
Gel lidah buaya sangat berkesan untuk menyejukkan dan menyembuhkan kulit yang terbakar.
Ia juga membantu mengurangkan keradangan dan melembapkan kulit.
Ambil daun lidah buaya, potong dan sapukan gelnya ke bahagian melecur.
Ulang sapu 2-3 kali sehari.

4. Sapuan minyak kelapa/zaitun
Minyak kelapa mengandungi sifat anti-bakteria dan anti-radang.
Ia boleh membantu mempercepatkan proses penyembuhan.
Selepas luka kering, sapukan minyak kelapa secara nipis untuk bantu elak parut.
Tip penting: Elakkan sapu bahan berminyak segera selepas melecur kerana ia boleh perangkap haba. Gunakan hanya selepas kulit mula sejuk dan kering.

5. Madu asli
Madu mengandungi sifat anti-septik semula jadi.
Ia boleh disapu pada luka melecur ringan untuk mengelakkan jangkitan dan membantu penyembuhan.
Sapukan lapisan nipis madu asli pada kawasan terbakar dan balut dengan kain bersih.