KUALI | Trending

Pernah pinjam ah long demi kelangsungan perniagaan, kini AMK Group mula kuasai pasaran makanan segera

Lead Image

SEBALIK keharuman ayam goreng rangup dan aroma kopi memikat di AMK Fried Chicken, tersembunyi sebuah kisah perjuangan penuh liku dan semangat tidak kenal putus asa. 

Bermula dengan RM750 dan impian besar, Pengasas AMK Group Sdn Bhd, Mohammad Assraf Maidin Koty, 32, mampu mengemudi sebuah empayar makanan dengan beberapa jenama makin dikenali ramai.

“Pembabitan dalam dunia makanan dan minuman bermula sekitar 10 tahun lalu dengan membeli kafe di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dari ibu rakan saya. 

“Dengan duit simpanan RM750, saya nekad membeli kafe itu sedangkan saya tidak tahu masak apatah lagi berpengalaman dalam perniagaan membabitkan makanan dan minuman (F&B),” kongsinya. 

Setiap menu disediakan mengambil kira selera pelanggan dari segenap usia.

Langkah permulaan bermodalkan RM750

Mohammad Assraf bagaimanapun memberanikan diri memulakan langkahnya sebagai usahawan kafe dengan bantuan sahabatnya juga seorang tukang masak. 

Dari satu kafe, anak kelahiran Tumpat, Kelantan itu berkembang menjadi pemilik kepada empat kafe di kampus universiti berkenaan. 

“Kemudian, saya cuba menapak ke luar kampus dengan membuka restoran pertama berkonsepkan masakan panas dan diikuti masakan barat. 

“Sehingga kini, dibawah jenama AMK Group ada lima jenama F&B dengan konsep makanan berbeza termasuk rantaian makan segera, AMK Fried Chicken,” katanya yang pernah tinggal di kafe kerana semua duit gaji digunakan sepenuhnya untuk modal pusingan kafe berkenaan.

MENARIK DIBACA : Dari makmal forensik ke dapur... Minat masak Shafiq Cute lahir sebab tanggungjawab, kari menu pertama buat keluarga

MENARIK DIBACA : Ada sebab 5 cendawan ini paling mahal di dunia, harganya boleh beli jam tangan mewah

Terpaksa buat pinjaman ah long

Namun, kejayaan itu tidak datang tanpa pengorbanan. Pernah di saat genting, dia terpaksa meminjam wang daripada Ah Long untuk menampung gaji pekerja. 

Pernah juga berlapar, hanya makan sepotong roti jagung dibahagi dua pagi dan malam.

“Membuat pinjaman dengan ah long bukan perkara dibanggakan atau patut dicontohi cumanya saya ingin kongsikan pengalaman. 

“Bukan mudah untuk menguruskan perniagaan, tetapi saya ingin buktikan dengan semangat, strategi dan keikhlasan, apa sahaja impian mampu direalisasikan. 

“Dari seorang anak sederhana pernah berlapar, kini saya berdiri megah dengan rangkaian restoran bakal mewarnai dunia F&B tempatan dan lebih jauh lagi,” luah anak kelima dari tujuh beradik itu.

Selain ayam goreng, aneka pilihan rasa croissant buah-buahan dihidangkan buat pelanggan.

Mencipta rasa ayam goreng istimewa

Biarpun tidak tahu memasak, tapi Muhammad Assraf tahu kehendak pelanggan. Dalam tempoh setahun, selepas membuka AMK Fried Chicken di Sentul, satu lagi cawangan dibuka di Shah Alam. 

Bersama pasukan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) resipi ayam goreng terbaik selama hampir enam bulan dijalankan untuk dapatkan rasa, tekstur sempurna dan sos sambal sesuai dengan selera ramai.

“Masuk AMK Fried Chicken seperti melangkah ke dua kedai berbeza. Makanan segera dan pastri. AMK Fried Chicken terkenal dengan ayam goreng, kepak ayam Korea dan burger. 

“Cafe Kotty pula membolehkan pelanggan nikmati croissant dengan topping buah-buahan segar dan kopi istimewa tanpa minuman berkarbonat,” katanya hampir 95 peratus menu AMK guna ayam, tapi ada juga pilihan ikan untuk burger.

Dalam tempoh setahun, dua cawangan AMK Fried Chicken dibuka seiring permintaan pelanggan.

Lebih sekadar perniagaan

Bagi Muhammad Assraf, perniagaan adalah jalan untuk membahagiakan ibu bapa dan mahu mereka bangga dengan mencapaiannya membawa keluarga keluar dari kesederhanaan hidup.

“Ibu bapa adalah pembakar semangat saya, setiap restoran dibuka dengan wajah mereka di hadapan sebagai penghargaan,” katanya penuh emosi.

Kini, selain restoran, dia juga memiliki ruangan acara sendiri dan menempatkan jenama-jenama lain dalam kelompok AMK Group, termasuk restoran masakan Melayu, barat, warung Kelantan dan Indonesia.

Dalam tempoh terdekat AMK Group menyasarkan untuk menjadi pembekal terbesar untuk sektor F&B tempatan.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

Terbeban kos sara hidup tinggi, mahasiswa ini terpaksa makan makanan kucing... Dakwa kaya kandungan protein bina otot

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

Rakyat Malaysia lebih suka makan di luar, perbelanjaan ke restoran meningkat pada 2024

Terhangat