Rakyat Malaysia lebih suka makan di luar, perbelanjaan ke restoran meningkat pada 2024
GAYA hidup yang semakin sibuk membuatkan kebanyakkan rakyat Malaysia lebih memilih untuk makan di luar berbanding memasak sendiri di rumah.
Perkara itu jelas dibuktikan menerusi Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Rabu.
Pola perbelanjaan berubah apabila perbelanjaan di restoran dan perkhidmatan penginapan mencatatkan peningkatan ketara kepada 17 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan isi rumah.

Restoran dan penginapan merupakan antara empat perbelanjaan utama rakyat Malaysia, selain perumahan (23.5%), makanan (15.7%) dan pengangkutan (11%).
Peningkatan ini mencerminkan peralihan gaya hidup masyarakat yang semakin gemar berbelanja makan di luar serta menggunakan perkhidmatan berkaitan hospitaliti.
Trend positif ini dipercayai dipengaruhi oleh peningkatan purata pendapatan isi rumah kepada RM9,155 pada 2024.
MENARIK DIBACA: Tiada penyesalan tinggalkan karier doktor gigi, Pastribella kebahagiaan sebenar Dr. Ezani
MENARIK DIBACA: Malaysia tembus senarai 'World’s 101 Best Steak Restaurants 2025'
Meskipun berdepan cabaran kos sara hidup, pendapatan boleh guna isi rumah purata meningkat kepada RM7,584, iaitu 82.8 peratus daripada jumlah pendapatan kasar.
Perkara ini menunjukkan kemampuan masyarakat menampung keperluan harian termasuk aktiviti sosial seperti makan di luar.
Pada masa sama, kadar kemiskinan mutlak negara menurun kepada 5.1 peratus berbanding 6.2 peratus pada tahun 2022, dengan kemiskinan bandar susut kepada 3.7 peratus dan kemiskinan luar bandar turun kepada 10 peratus.