'Duck orange with mango salsa' bawa tuah, 2 pelajar muncul juara pertandingan memasak MSSCC ke-28
DUA bakat muda mencipta kejayaan apabila muncul juara Pertandingan Memasak Sekolah Menengah Maggi (MSSCC) ke-28 yang berlangsung di The Campus Ampang pada Selasa lalu.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bemban, Melaka iaitu Muhammad Adiy Naufal Muhammad Hazrul dan Nur Muslihah Najwa Hamizan menarik perhatian juri dengan hidangan unik.
Muhammad Adiy dan Nur Muslihah menampilkan masakan Perancis iaitu 'duck orange with mango salsa' yang diolah menggunakan produk Maggi Cukup Rasa Geprek.

Gabungan rasa tempatan dan antarabangsa itu disifatkan unik dan bertaraf antarabangsa namun berjaya mengekalkan ciri tempatan.
Menambah nilai pada penyertaan mereka, hidangan itu turut mengetengahkan konsep suku separuh sihat sejajar dengan amalan pemakanan seimbang yang digalakkan dalam pertandingan ini.
Nur Muslihah, 16, berkata, ini adalah penyertaan pertamanya dalam pertandingan memasak dan ia pengalaman cukup bermakna.
MENARIK DIBACA: Dari makmal forensik ke dapur... Minat masak Shafiq Cute lahir sebab tanggungjawab, kari menu pertama buat keluarga
MENARIK DIBACA: KULinary Award iktiraf 11 pengusaha makanan di KLIA, Jibby Chow menang Restoran Tempatan Terbaik
“Saya sangat teruja apabila diberi peluang ini walaupun pada awalnya tidak menyangka akan menang.
“Sebenarnya saya tidak begitu mahi memasak dan hanya melakukannya kerana disuruh ibu namun lama-kelamaan saya mula seronok dan timbul minat,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Muslihah memberitahu penglibatan dalam MSSCC membuka matanya terhadap dunia kulinari yang lebih daripada sekadar masakan.
“Pusingan kali ini memang mencabar kerana pada pusingan pertama cikgu yang memilih resipi tetapi pada pusingan kedua kami perlu mereka sendiri hidangan berdasarkan bahan dalam kotak misteri.
“Rakan sepasukan benar-benar banyak membantu dalam mencetuskan idea dan mengolah masakan,” jelasnya.

Sementara itu, naib johan pertandingan dimenangi oleh Dhiya Hanis Syamimi Faizatu Afkhma dan Nur Atiqah Elisya Zulfatihi dari SMK Sultan Yahya Petra 1, Kelantan, manakala tempat ketiga diraih oleh Muhammad Asner Asnal dan Muhammad Alfian Saadon dari SM St. Mary, Sabah.
Mengulas mengenai pertandingan, Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi Malaysia dan Singapura, Ivy Tan Link Cheh berkata, para pelajar dapat belajar lebih daripada sekadar resipi melalui MSSCC.
“Mereka boleh membina keyakinan diri, bekerjasama dengan rakan sebaya dan merasai keseronokan menyediakan hidangan seimbang yang meraikan kepelbagaian budaya makanan Malaysia.

“Setiap cef muda di sini telah menunjukkan minat mendalam dan bakat luar biasa dan saya harap pengalaman ini memberi inspirasi kepada mereka untuk terus memasak, mencuba resipi dan meraikan cita rasa luar biasa Malaysia,” katanya.
Bertemakan ‘Dari Negeri ke Pentas Dunia’, MSSCC 2025 membuka peluang kepada pelajar berusia 13 hingga 17 tahun dari 16 buah negeri di seluruh negara untuk menonjolkan kreativiti dalam bidang kulinari.
Daripada jumlah itu, lapan negeri iaitu Melaka, Kelantan, Sabah, Terengganu, Sarawak, Johor, Pulau Pinang dan Labuan terpilih ke peringkat akhir yang menyaksikan cabaran getir dalam pusingan ‘Mystery Box’.