Ada sebab 5 cendawan ini paling mahal di dunia, harganya boleh beli jam tangan mewah
DALAM dunia masakan mewah hari ini, menikmati cendawan paling jarang ibarat memakai jam tangan mewah memberi simbol status dan keistimewaan.
Penggunaan cendawan di sesetengah negara melebihi bahan masakan biasa tetapi dianggap sebagai santapan berharga.
Sesetengah jenis cendawan boleh mencapai harga lebih tinggi daripada emas kerana diperoleh daripada hutan tebal, lereng bersalji di Himalaya dan bahkan akar pokok purba sukar ditemui.
Nilai cendawan berdasarkan beberapa faktor termasuk manfaat kesihatan, sifat eksklusif dan kepercayaan.

1.Yartsa Gunbu
Dikenali sebagai cendawan ulat bulu, anggaran harga pasaran bagi cendawan ini boleh mencecah RM235,000 per paun (USD 50,000 per paun).
Yartsa Gunbu bukan cendawan biasa tetapi sebenarnya kulat parasit jarang ditemui tumbuh dari tubuh larva rama-rama hantu.
Kulat parasit berkenaan akan membunuh serangga tersebut dari dalam sebelum mencucuk keluar sebatang tangkai nipis dari kepalanya.
MENARIK DIBACA: Minum petang penuh budaya, 5 set hidangan pamer keunikan warisan kulinari tempatan
MENARIK DIBACA: [V] 10 tahun menetap di Malaysia, Tya Ariffin masih tak reti makan nasi kandar kuah banjir
Biarpun kelihatan pelik, namun kulat ini antara bahan semula jadi paling bernilai di dunia.
Ditemui di kawasan tinggi Himalaya seperti Tibet, Nepal, Bhutan dan utara India, Yartsa Gunbu dikutip dengan tangan pada ketinggian 3,500 meter ke atas.

2.Truffle Putih Alba
Truffle putih Eropah boleh dianggap sebagai permata dalam dunia kulinari.
Cendawan ini lazimnya ditemui di hutan sekitar utara Itali, khususnya di kawasan Alba dalam wilayah Piedmont.
Kulat jarang ditemui ini terkenal dengan aroma kuat menusuk dan mencatatkan harga jualan mencecah RM18,800 per paun (USD 4,000 per pound).
Cef dari dapur bertaraf Michelin di Paris, Tokyo dan New York berlumba-lumba mendapatkan hasil terbaik menggunakan cendawan ini dalam hirisan ultra nipis menghiasi pasta segar, telur atau risotto.

3. Matsutake (Tricholoma matsutake)
Juga dikenali sebagai cendawan pinus, harga anggaran satu kilogram boleh mencecah RM4,700 (USD 1,000 per kilogram).
Matsutake antara cendawan penting dalam budaya Jepun dan paling mahal di dunia.
Ia mempunyai aroma pedas seperti kayu manis dan tekstur kenyal sesuai direneh dalam sup atau dipanggang dengan perasa minimum.
Cendawan ini tumbuh di bawah pokok pinus merah di Jepun, Korea, China serta beberapa bahagian Scandinavia dan Amerika Utara menjadikannya antara sajian premium.

4. Black Truffle (Tuber melanosporum)
Sering dianggap sebagai intan hitam dalam dunia kulinari, truffle hitam adalah salah satu bahan paling diidamkan dalam masakan mewah.
Berasal dari Eropah selatan, khususnya wilayah Perigord di Perancis, kulat bawah tanah ini hidup dalam simbiosis rapat dengan pokok oak, hazel dan beech.
Dikenali sebagai Truffle Perigord, anggaran harga bagi cendawan ini adalah RM7,050 per paun (USD 1,500 per paun).
Truffle hitam mempunyai aroma kuat dengan nota koko, kacang dan bawang putih.

5. Morels (Morchella spp.)
Dikenali sebagai cendawan span, bagi cef dan pemburu cendawan ia adalah legenda.
Kulat berbentuk seperti sarang lebah ini bermusim dan diperoleh secara liar setiap musim bunga.
Harga anggaran bagi cendawan ini bagi versi kering boleh mencecah RM2,350 per paun (USD 500 per paun).
Rasa kompleks - gabungan antara kacang, tanah dan sedikit berasap menjadikannya kegemaran dalam masakan Perancis.