KUALI | Sajian Warung

Lima 'street food' wajib serbu kalau ke Pulau Pinang

Lead Image

PERCUTIAN ke Pulau Pinang tidak lengkap jika tidak memburu seleksi sajian popular di negeri tersebut.

Digelar sebagai bandar Street Food Terbaik Asia, Pulau Mutiara sememangnya menjadi syurga makanan yang menawarkan pelbagai hidangan jalanan penuh rasa dan sejarah.

Dari pesisir laut Padang Kota hingga ke lorong-lorong tumpuan pelancong di George Town, setiap lokasi mempunyai keistimewaan tersendiri.

Maka tak hairanlah, ramai sanggup datang berulang kali semata-mata untuk menikmati keenakan sajian yang hanya terdapat di sini.

Berikut lima lokasi makanan menarik yang wajib dikunjungi setiap kali ada jejak di Pulau Pinang;

Gani Famous Pasembur tidak putus-putus terima pelanggan.

1. Gani Famous Pasembur, Padang Kota Lama

Angin laut sepoi-sepoi di Padang Kota Lama menjadi pelengkap suasana ketika menikmati pasembur di sini.

Terletak di Kompleks Makanan Medan Renong, gerai ini tidak putus-putus dengan pelanggan yang datang dari seluruh pelusuk Malaysia semata-mata ingin merasai keenakan hidangan asli Penang.

Meja dipenuhi dengan pilihan cucur, sotong, udang, dan isi ketam bergoreng rangup - semuanya disimbah dengan kuah kacang yang pekat, manis dan sedikit pedas.

Kesegarannya terasa pada setiap kunyahan, ditambah pula layanan mesra penjual yang cekap menyusun hidangan.

Nasi Kandar Kampung Melayu terkenal dengan kesedapan kuah kari yang padu.

2. Nasi Kandar Kampung Melayu, Ayer Itam

Kalau sudah jejak Penang, nasi kandar wajib masuk dalam senarai!

Di tengah-tengah Kampung Melayu, kedai ini terkenal dengan aroma kari yang kuat dan rasa yang padu.

Melangkah saja masuk, mata dijamu dengan pilihan lauk menggoda selera misalnya ayam goreng berempah, daging masak hitam, sotong, ayam bawang dan telur masin.

Kuah campur ‘banjir’ menjadi pelengkap hidangan dengan ledakan rasa pedas dan lemak yang seimbang.

Ringkas tetapi cukup memuaskan selera.

Roti canai banjir menyerlahkan rasa unik yang jarang dijumpai dimana-mana.

3. Gemas Road Brothers, Jalan Gemas

Pagi di Penang tidak lengkap tanpa roti canai banjir di Gemas Road Brothers yang memang terkenal sejak turun-temurun.

Roti canai lembut dihidangkan bersama kuah dhal dan kari pekat banjir yang sedikit pedas memberi sensasi hangat dalam setiap suapan.

Pilihan lauk seperti kari kambing, ayam dan daging berempah menambah kepuasan rasa.

Lebih nikmat jika ditambah telur mata dan kepingan cheese yang menjadikan setiap gigitan lebih creamy dan memuaskan.

Gagungan telur yang digoreng garing dan tiram segar cukup menggoda selera.

4. Penang Famous Oyster Omelette, Anjung Gurney

Oyster omelette di Penang mempunyai tekstur unik - rangup-rangup kenyal kerana campuran tepung dan telur yang digoreng pada api panas.

Tiram segar digunakan memberi rasa manis laut yang lembut dan juicy ketika digigit.

Aromanya datang daripada telur yang digoreng garing serta sedikit rasa berasap daripada kuali panas.

Dihidang bersama sos Thai pedas masam membantu mengimbangi rasa berlemak dan menambahkan sentuhan segar pada setiap suapan.

Gabungan cendol, santan, gula merah, kacang dan jagung sungguh menyegarkan tekak.

5. Penang Road Famous Teochew Chendul, Lebuh Pantai

Cuaca panas terik di sekitar Geoge Town semamangnya sesuai jika ingin menikmati semangkuk cendol.

Mana lagi kalau bukan di Penang Road Chendul yang cukup popular dalam kalangan pelancong dan penduduk setempat.

Dalam suapan pertama, terserlah rasa cendol hijau lembut, santan pekat berlemak, gula melaka harum serta ais kisar yang menyegarkan tekak.

Gabungan ringkas tetapi cukup sempurna, memberikan kenikmatan sejuk sampai ke jiwa.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Sajian Warung

[V] Mi bandung udang galah hanya RM15, rasa asli macam makan dekat Muar

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Sajian Warung

[V] Lepas kenyang boleh tidur dulu... Warung sempoi tepi sungai, lokasi tenang sambil makan sedap

Terhangat