Anak kerap sakit, banyak penyakit! Wanita saran mak ayah periksa semula susu
ADA kalanya ibu bapa tertanya-tanya punca anak kecil mudah mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti batuk berpanjangan, asma, ekzema, demam atau sembelit.
Seorang wanita menerusi perkongsian di Threads tampil berkongsi pandangan peribadinya mengenai perkara tersebut, termasuk pengambilan susu dalam kalangan kanak-kanak.
“Kadang pelik tengok dari mana datangnya penyakit kronik zaman sekarang, ramai masih kecil pula yang kena.
“Batuk lama tak hilang, kerap serangan asma, ekzema, tonsil, demam, sembelit dan macam-macam lagi.

“Sebenarnya kita makan sekarang bukan lagi macam dulu,” dia memberikan pendapatnya di Threads.
Menurut wanita itu, susu merupakan antara contoh boleh dilihat apabila kita membandingkan pemakanan zaman dahulu dengan sekarang.
“Bukanlah susu tu tak elok, Rasulullah SAW pun minum susu. Cumanya susu zaman tu dari ladang terus ke dapur.
“Zaman kita, susu masuk kilang, tambah gula, perisa, pewarna dan pemanis serta lain-lain,” katanya.
MENARIK DIBACA: Dari baguette ke kare pan, kenali 7 jenis roti popular dunia dan kisah di sebaliknya
MENARIK DIBACA: Pastri sanggup bayar mahal, kuih tradisi nak murah gila-gila! Pelanggan disaran ubah mentaliti lapuk
Wanita berkenaan turut mencadangkan ibu bapa cuba untuk menghentikan sementara pengambilan susu sekiranya anak kurang sihat dan melihat perubahan yang berlaku.
“Cuba pantang sekejap susu dalam sebulan waktu anak tak sihat dan lihat sendiri tahap kesihatan mereka (selepas pantang).
“Susu zaman sekarang banyak gula, kalau boleh cari tiada kandungan maltodekstrin dan cuma guna satu bahan iaitu segar dan asli,” jelasnya.
Dalam pada itu, dia turut menyentuh mengenai khasiat susu ibu sebagai pilihan terbaik untuk anak sehingga usia dua tahun.
“Susu terbaik untuk anak adalah susu disebut dalam al-Quran iaitu susu ibu. Itu pun sampai dua tahun.
“Cukup dua tahun banyakkan real food dan makanan segar,” katanya.
Selain susu, wanita itu turut mencadangkan agar ibu bapa mengelakkan sementara produk berasaskan tenusu seperti keju dan yogurt sekiranya anak tidak sihat.

Bagaimanapun, sekiranya anak masih mahu minum susu, dia mencadangkan susu kambing segar dari ladang sebagai salah satu pilihan.
“Kalau tak jumpa juga baru pilih susu tepung kambing,” dia memberikan saranan.
Perkongsian ini bagaimanapun merupakan pandangan peribadinya dan tidak bermaksud semua masalah kesihatan kanak-kanak berpunca daripada susu atau produk tenusu.
Batuk berpanjangan, asma, ekzema, demam atau masalah penghadaman boleh berpunca daripada pelbagai faktor dan ibu bapa disarankan mendapatkan nasihat pakar.