KUALI | Trending

Dari baguette ke kare pan, kenali 7 jenis roti popular dunia dan kisah di sebaliknya

Lead Image

ROTI bukan sekadar makanan tetapi kehadiran sajian ini sudah menjadi simbol budaya, identiti dan warisan setiap negara.

Di Malaysia, roti canai mula terkenal disebabkan pengaruh budaya India sebagai makanan sarapan lembut dan rangup sehingga menjadi makanan nasional dan kegemaran ramai.

Begitu juga di seluruh dunia, roti mencerminkan sejarah, kreativiti dan gaya hidup masyarakatnya.

MENARIK DIBACA: Enam jenis bunga ini boleh dimakan! Cef tunjuk cara buat manisan memikat selera

MENARIK DIBACA: [V] Rupanya pucat dan rasanya hambar! Cicah dengan sambal ‘berapi’ baru tahu kehebatan sate taichan

Sama ada di kedai roti klasik di Paris, warung tepi jalan di Malaysia atau pasar malam di China, roti menjadi penghubung universal.

Jom kenali beberapa jenis roti yang popular di seluruh dunia.

Bagel, antara menu roti mencetuskan trend hangat dalam kalangan penggemar roti.

1. Montreal bagel, Canada

Sejak 1919, api di kedai Fairmount Bagel, Montreal, Canada tidak pernah padam sebagai kedai bagel pertama di bandar itu.

Bagel Montreal dikenali dengan tekstur padat, kenyal dan sedikit manis hasil daripada proses unik merebus doh dalam air bergula sebelum dibakar.

Selain dinikmati sebagai pelengkap sarapan, roti berbentuk cincin ini menjadi kebanggaan kulinari kota Montreal. Roti ini dijual pada anggaran harga RM5 bagi satu bagel biasa.

Shaobing menggoda selera kerana keharuman kerak bijan ditambah dengan kerangupan 18 lapisan kerak roti.

2. Shaobing, China

Di China, shaobing menggoda selera kerana keharuman kerak bijan ditambah dengan kerangupan 18 lapisan kerak roti dihasilkan oleh pembuat roti berpengalaman.

Doh roti ini diputar, ditebar dan ditampar berulang kali hingga nipis sebelum diadun dan dibakar.

Roti dari utara China ini lazimnya didatangkan dengan inti pes bijan hitam manis atau daging salai dan lada Sichuan pedas masing. Ia dijual pada RM 0.65 hingga RM 2.00.

Baguette, roti tradisional Perancis enak dinikmati bersama sup cendawan hangat.

3. Baguette, Perancis

Tiada roti lebih sinonim dengan Perancis selain baguette - roti panjang dengan kerak keemasan rangup dan isi dalam lembut serta beraroma ini memiliki tarikan tersendiri.

Selain menjadi makanan ruji, baguette juga melambangkan gaya hidup, kesederhanaan dan keanggunan masyarakat Perancis.

Walaupun orang Perancis jarang makan sambil berjalan, terdapat satu pengecualian diterima secara universal iaitu budaya le quignon atau hujung baguette rangup sambil menyusuri jalan-jalan Paris, juga ritual mencerminkan kebanggaan terhadap budaya kulinari.

Sebatang baguette tradisional biasanya dijual pada harga RM6 hingga RM7.50 mengikut kadar pertukaran semasa negara ini.

Roti gambang seakan alat muzik tradisional dari Indonesia.

4. Roti Gambang, Indonesia

Roti gambang ini menggamit deria dengan aroma manis gula melaka dan haruman kayu manis lembut.

Teksturnya padat namun empuk, menjadikan roti ini antara hidangan klasik masih setia menghiasi rak kedai roti tradisional di Jakarta.

Panggilan gambang diambil daripada alat muzik tradisional Indonesia, memiliki bilah kayu seolah bentuk roti ini panjang dan berwarna perang keemasan.

Di Jakarta, sepotong roti gambang biasanya dijual sekitar RM1.50 hingga RM3.

Roti kari Jepun menawarkan rasa kompleks.

5. Kare Pan, Jepun

Di Jepun, kare pan atau roti kari menjadi gabungan sempurna antara cita rasa tempatan dan pengaruh luar.

Doh gandum beragi diisi dengan kari Jepun harum, digolek dalam serbuk roti (panko) sebelum digoreng hingga keemasan.

Roti ini menghasilkan tekstur kulit luar garing dengan inti dalam lembut berkuah, mencipta sensasi menawan setiap kali digigit.

Pengaruh roti ini sangat besar sehingga tertanam dalam budaya pop Jepun dan menghasilkan watak adiwira anime dikenali sebagai Karepanman, digambarkan menentang musuh dengan.

Kare pan biasanya dijual sekitar RM5 hingga RM8.

Roti canai antara hidangan menjadi kegemaran masyarakat tempatan.

6. Roti Canai, Malaysia

Walaupun asal-usul roti canai berpunca daripada pengaruh India, rakyat Malaysia menjadikannya sebahagian daripada identiti kulinari tempatan.

Dohnya digaul, diuli dan dilipat berlapis-lapis sebelum dimasak di atas kuali leper panas, menghasilkan kulit nipis dan rangup di luar tetapi lembut dan gebu di dalam.

Roti canai biasanya dihidangkan bersama kuah kari, dhal atau sambal, menjadikannya hidangan serba boleh dinikmati pada bila-bila masa.

Sebiji roti canai biasa biasanya dijual antara RM1.50 hingga RM3.00, bergantung kepada lokasi dan jenis inti tambahan.

Tortilla dari Mexico turut mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat tempatan.

7. Tortilla, Mexico

Tortilla adalah asas penting dalam masakan Mexico menjadi sebahagian daripada budaya Mesoamerika sejak ribuan tahun dahulu.

Doh jagung nipis dibentuk menjadi bulatan, kemudian dipanggang di atas kuali tradisional atau comal.

Walaupun nampak ringkas, tortilla adalah hasil kejuruteraan kulinari bijak menggunakan proses nixtamalization - jagung dicampur dengan bahan beralkali seperti kapur, menjadikan biji jagung lebih berkhasiat dan mudah dicerna.

Di Mexico, tortilla biasanya dijual sekitar RM0.70 hingga RM1.20.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

Rasmi jadi anggota ke-11 ASEAN... Kenali 5 makanan khas Timor-Leste, kaya pengaruh tempatan dan Portugis

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

‘Tangan sejuk’ David Beckham sesuai berkebun, geram tengok bawang tanamannya gemuk-gemuk

Terhangat