Rasmi jadi anggota ke-11 ASEAN... Kenali 5 makanan khas Timor-Leste, kaya pengaruh tempatan dan Portugis
TIMOR-LESTE atau sebelum ini dikenali sebagai Timor Timur akhirnya sah secara rasmi menjadi anggota ASEAN selepas penantian selama 14 tahun.
Pengiktirafan tersebut sekali gus menjadikan negara yang dahulunya merupakan sebahagian wilayah di bawah pemerintahan Republik Indonesia itu sebagai anggota ke-11 ASEAN.
Negara dengan keluasan 15,410 kilometer persegi itu mungkin kedengaran agak asing bagi sesetengah orang namun yang pasti Timor-Leste menyajikan panorama alam menawan.
Tidak hanya itu, negara tersebut cukup kaya dengan sejarah dan peradaban yang tidak ramai ketahui.
MENARIK DIBACA: Kena cuba resipi bebola labu manis Adikfoods, memang tak cukup sepinggan!
MENARIK DIBACA: [V] Berhenti makan selepas pukul 9 malam rahsia badan sasa Daniel Fong
Negara ini juga memiliki kepelbagaian makanan yang mencerminkan campuran tradisi tempatan dan pengaruh Portugis.
Sebagai 'keluarga' baharu ASEAN, Kuali kongsikan lima makanan khas Timor-Leste yang ada di antaranya mempunyai persamaan dengan masakan di Indonesia dan Malaysia.
Siapa tahu suatu hari nanti ada yang merancang berkunjung ke Timor-Leste, boleh mencuba hidangan khas mereka.

1. Saboko
Saboko merupakan sejenis makanan khas berupa ikan tuna panggang dan digaul bersama cili, daun asam jawa dan bawang.
Sebelum dibakar, ikan tuna akan dibalut dengan daun yang dipanggil lontar atau tal, iaitu sejenis tumbuhan palma sehingga menghasilkan aroma menyelerakan.

2. Batar daan
Hidangan istimewa ini diperbuat daripada campuran jagung, kacang hijau, labu, minyak zaitun dan bawang.
Batar daan sering dijadikan makanan utama ketika makan tengah hari kerana mengandungi protein dan serat yang tinggi.
Batar daan juga boleh dijadikan bubur. Sebagai penambah kelazatan, masyarakat tempatan biasanya akan mencampurkan potongan daging lembu ke dalam masakan.

3. Koto
Makanan berupa sup ini diperbuat daripada kacang merah dan dicampur bersama kentang, lobak merah dan daging.
Hidangan ini biasanya dimakan bersama nasi panas.

4. Tukir
Tukir merupakan sejenis hidangan istimewa yang berasal dari salah satu kota di Timor-Leste iaitu Viqueque.
Hidangan ini merupakan masakan berasaskan daging kambing yang dibakar di dalam buluh bersama beberapa rempah istimewa.

5. Roti Pa’un/paung
Roti pa'un merupaan sejenis roti tradisional yang diperbuat daripada tepung gandum. Terdapat dua versi roti pa'un yang biasanya dihasilkan iaitu tawar dan masin.
Permukaan luarnya keras namun bahagian dalamnya lembut. Roti pa'un selalunya dimakan bersama secawan kopi panas.