Havoc Trio Festival 2025 gegar WTC Kuala Lumpur, himpun 300 vendor termasuk makanan viral
HAVOC Event & Management Sdn. Bhd. sekali lagi mencetuskan fenomena menerusi penganjuran Havoc Trio Festival 2025, sebuah festival mega tahunan yang menghimpunkan tiga segmen utama iaitu Year-End Sale, Food Festival dan Back to School Fair di bawah satu bumbung.
Festival yang berlangsung selama empat hari dari 4 hingga 7 Disember 2025 ini bakal diadakan di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur bermula dari pukul 11 pagi hingga 11 malam.
Menariknya, sebanyak lebih 300 vendor pelbagai kategori termasuk makanan viral akan mengambil bahagian sekali gus dijangka bakal menarik lebih 500,000 pengunjung sepanjang empat hari festival berlangsung.
Menggabungkan semangat "Shopping, Eat & Enjoy", Havoc Trio Festival 2025 menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung untuk berbelanja, menjamu selera dan berhibur dalam suasana pesta rakyat yang penuh warna-warni.

Selain tawaran jualan akhir tahun, pengunjung turut bakal menikmati promosi eksklusif, diskaun besar-besaran, aktiviti komuniti, persembahan artis dan kejutan menarik setiap malam.
Buat julung kalinya juga, Havoc Trio Festival 2025 turut memperkenalkan program Islamik dengan mengetengahkan elemen kerohanian dan perpaduan ummah melalui program Malam Mahabbah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Event Management Sdn. Bhd., Datuk Firdaus Nadxaman, Havoc Trio Festival 2025 bukan sekadar festival, tetapi satu platform untuk menyatukan komuniti-usahawan, vendor, pelancong dan keluarga.
MENARIK DIBACA: Havoc Food Festival diiktiraf Malaysia Book of Records, dihadiri 18 juta pengunjung
MENARIK DIBACA: Tak perlu ke Penang... Jom serbu bazar di Moxy Putrajaya, char kuey teow dan pasembor pun ada!
"Kami mahu menjadikan acara ini sebagai festival rakyat untuk merancakkan ekonomi tempatan sambil menghidupkan semangat kebersamaan.
"Tahun ini lebih istimewa dengan kehadiran ramai selebriti, jenama besar, serta aktiviti Islamik dan kerohanian yang memberi nilai tambah kepada seluruh pengunjung," ujar Firdaus.
Ketua Pegawai Operasi Havoc Event & Management Sdn. Bhd., Faizal Mohd. Yusof pula berkata, penganjuran Havoc Trio Festival 2025 kali ini turut memperkenalkan pelbagai aktiviti untuk semua lapisan masyarakat termasuk penampilan ramai selebriti popular.
"Antara aktiviti interaktif seperti Food Challenge, Lucky Draw Harian, Happy Hour Sale Countdown, Back to School Giveaway, serta persembahan malam kerohanian dan permainan rakyat bakal memberi pengalaman luar biasa buat seisi keluarga," ujarnya.