Pastri sanggup bayar mahal, kuih tradisi nak murah gila-gila! Pelanggan disaran ubah mentaliti lapuk
"KUIH kampung je, kenapa mahal sangat?"
Itulah antara persoalan yang sering kedengaran apabila harga kuih Melayu dijual pada harga sedikit tinggi berbanding kebiasaan.
Rungutan itu seolah-olah menunjukkan kuih tradisional Melayu tidak wajar dijual mahal kerana sajian warisan itu sudah sinonim dengan harga rendah dan menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat tempatan.
Ramai mengakui kuih Melayu klasik ini enak serta digemari ramai tetapi sayangnya kebanyakan individu tidak sedar hakikat bahawa proses pembuatannya sukar dan renyah meskipun menggunakan bahan-bahan ringkas.
Melihat situasi ini, ada yang berpendapat makanan tradisi tempatan tidak seharusnya terus diletakkan di tahap rendah kerana setiap sajian mempunyai nilai dari segi masa, kemahiran dan usaha yang diperlukan untuk menghasilkannya.
Seorang wanita di Threads tampil meluahkan pandangan mengenai realiti di sebalik penghasilan kuih tradisional yang sering dianggap mudah oleh sesetengah pihak.
Menurutnya, permintaan supaya kuih tempatan dijual pada harga murah dilihat tidak wajar kerana proses menghasilkan kuih Melayu memerlukan masa panjang, ketelitian serta kemahiran tertentu.

"Orang yang mahukan kuih tempatan dijual murah gila-gila memang saya tak faham. Kuih Melayu antara makanan manis yang paling mengambil masa, renyah dan memerlukan ketelitian tinggi untuk dibuat.
"Ada orang cakap saya cuba buat 'orang miskin tak mampu beli'? Dari mana datangnya kesimpulan itu? Saya bukan kata harga kuih lapis kena dijual sama dengan harga croissant di kafe (yang memang mahal tak masuk akal pun). Tapi hakikatnya kita memang selalu letak harga terlalu rendah untuk makanan budaya kita sendiri," tegasnya.
Pandangan tersebut dipenuhi pelbagai respon netizen yang rata-ratanya bersetuju bahawa proses menghasilkan kuih Melayu sememangnya rumit dan memerlukan banyak tenaga.
Kebanyakan warganet berpendapat sudah tiba masa untuk kuih tradisional Melayu diletakkan harga yang lebih sesuai bagi memastikan ilmu serta kemahiran menghasilkannya dapat diwarisi generasi akan datang.
"Sekarang ni saya tengah belajar/research tentang cara-cara buat kuih tertentu dan memang betul susah rupanya. Kuih seri muka pun dah cukup rumit nak buat.
"Setuju sangat 100 peratus! Dulu pernah tengok arwah moyang saya buat kuih lapis, ya Allah memang lama sangat prosesnya.
"Orang harapkan kuih seri muka harga 40 sen sepotong, kelakar betul. Saya pernah cuba buat sendiri kos bahan mentah sahaja dah hampir 60 sen untuk satu potongan kecil. Itu belum campur kos elektrik/gas, penghantaran, komisen dan kos-kos lain," antara komen warganet.

Selain itu ada juga yang mengakui tidak bermasalah membayar harga lebih tinggi untuk saiz atau potongan yang besar berbanding kebiasaan.
"Saya tak kisah pun nak bayar tapi kalau mereka potong nipis sangat-sangat tak rasa puas hati. Potonglah bagi gebu dan tebal sikit.
"Memang setuju sangat! Susah rupanya nak buat kuih Melayu. Saya suka makan kuih Melayu tapi kalau nak buat sendiri rasa macam kena bertapa dulu, kena kumpul mood dulu.
"Sebab tu saya tak jual kuih Melayu contohnya nak buat karipap kena sediakan inti dulu lepas tu buat doh kemudian bentuk satu-satu. Lepas tu goreng lagi, banyak betul langkahnya. Lepas tu bila jual RM1 sekeping masih ada orang merungut mahal. Malaslah nak layan," luah warga maya lagi.
Ada juga yang menyifatkan harga kuih yang terlalu rendah sejak dahulu menyebabkan ramai pembuat kuih berkemahiran mula berundur.
MENARIK DIBACA: Kerabu tomato ikan bilis imbau nostalgia bersama mak, lebih sedap dimakan sejuk
MENARIK DIBACA: Kedai nasi kandar didakwa guna taktik 'putar belit' untuk pelanggan bayar guna kod QR
"Betul tu… makcik-makcik dulu terlalu baik hati. Mereka bangun awal pagi buat kuih dan jual tiga biji RM1. Disebabkan harga kuih terlalu rendah, sekarang banyak kuih yang rasa biasa-biasa saja dan tukang kuih yang betul-betul mahir pun dah ramai berhenti buat," katanya.
Netizen turut mempersoalkan sikap sesetengah pihak yang sanggup membayar harga lebih tinggi untuk pencuci mulut Barat tetapi mempertikaikan harga kuih tempatan.
"Sebenarnya makanan Melayu banyak yang sangat renyah untuk dibuat. Saya tak faham kenapa susah sangat nak letak harga mahal, sedangkan makanan Barat yang lebih mudah dibuat pun boleh dijual mahal macam spageti aglio olio.
"Dan mereka ni tak teragak-agak langsung dan sanggup bayar 10 kali ganda lebih mahal untuk sepotong tiramisu biasa-biasa saja!
"Kalau nak banding mana yang lebih mudah dibuat, pastri Barat sebenarnya lagi senang. Tengok saja ramai orang kongsi resipi pastri tapi berapa ramai pula yang betul-betul boleh buat kuih tradisional dengan hasil menjadi?
"Sebenarnya lagi murah nak buat kek coklat. Kek coklat kukus pun boleh ubah suai kos sampai lebih kurang 20 sen untuk satu potong kecil lepas tu boleh jual dengan harga lebih tinggi berbanding seri muka," komen netizen lagi.