Jual aiskrim 'topping' semut, pemilik restoran Michelin berdepan hukuman penjara
SEORANG pemilik restoran bertaraf dua bintang Michelin di Korea Selatan berdepan hukuman penjara selepas didakwa menggunakan semut sebagai hiasan pencuci mulut.
Menurut laporan media, pendakwa raya Korea Selatan memohon hukuman penjara selama setahun terhadap pemilik restoran berkenaan, selain meminta premis itu dikenakan denda sebanyak 20 juta won (RM55,232).
Isu ini timbul selepas pihak berkuasa Kementerian Keselamatan Makanan dan Dadah Korea Selatan menemui ulasan pelanggan di internet yang memaparkan gambar hidangan ditaburi semut.
Difahamkan, semut berkenaan digunakan sebagai topping aiskrim yang merupakan salah satu daripada 15 sajian pencuci mulut restoran itu.
Pemilik restoran mengaku menghidangkan semut dan telah memaklumkan mengenai perkara itu kepada pelanggan dengan diberi pilihan untuk menyajikannya tanpa hiasan semut.
Dia turut mendakwa hanya kira-kira 60 peratus pelanggan memilih untuk mencuba hidangan berkenaan manakala yang lain diberi pilihan lain seperti cuka peram dan bunga yang boleh dimakan.

Penggunaan semut menjadi pertikaian kerana serangga berkenaan tidak termasuk dalam senarai 10 spesis serangga yang diluluskan untuk kegunaan manusia mengikut undang-undang Korea Selatan.
Antara serangga yang diluluskan termasuk belalang, belalang juta dan cengkerik dua tompok.
Hasil siasatan mendapati kira-kira 49,000 ekor semut yang diimport dari Amerika Syarikat dan Thailand telah digunakan dalam beberapa hidangan sepanjang tempoh empat tahun.
Pihak berkuasa kesihatan turut mendapati semut yang digunakan mengandungi kandungan logam berat sehingga 55 kali lebih tinggi berbanding serangga yang biasa diluluskan sebagai makanan, menurut laporan The Chosun Daily.
Dalam menentukan sama ada sesuatu serangga boleh diluluskan sebagai makanan, pihak berkuasa Korea Selatan mengambil kira beberapa faktor termasuk risiko keselamatan makanan, tahap toksik, nilai pemakanan serta kaedah pembiakan dan pemprosesan yang bersih.
MENARIK DIBACA: Dadih cair, tak beku seperti diharapkan... Anda mungkin buat 2 kesilapan ini ketika memasak
MENARIK DIBACA: Bawang rupanya ada strategi pertahankan diri, punca manusia pedih mata ketika menghiris
Sebagai pembelaan, pemilik restoran itu berkata penggunaan semut sebagai bahan makanan turut diamalkan oleh restoran di beberapa negara lain seperti Australia, Denmark dan United Kingdom.
Bagaimanapun, dokumen mahkamah tidak mendedahkan nama restoran atau pemiliknya.
Mahkamah dijangka membuat keputusan terhadap kes berkenaan pada 2 September depan.
Walaupun menjadi pertikaian, semut sebenarnya dimakan dan dianggap sebagai makanan istimewa dalam beberapa budaya di Asia, Afrika serta Amerika Latin.
Semut anyam dan telurnya digunakan dalam masakan Thailand serta Kemboja, manakala semut ratu di Colombia dianggap bernilai tinggi seperti kaviar.