Elak sambal belacan cepat rosak! Ini petua penyediaan, cara simpan disarankan
SAMBAL belacan sering menjadi pelengkap hidangan yang mampu menaikkan selera, lebih-lebih lagi apabila dimakan bersama nasi panas, ikan goreng dan ulam-ulaman.
Bagaimanapun, kalau disimpan terlalu lama dalam peti sejuk atau tidak dikendali dengan betul ia boleh berkulat dan perlu dibuang.
Sebenarnya, ada beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk membantu mengurangkan risiko sambal belacan cepat rosak melibatkan cara penyediaan dan penyimpanannya.

1. Goreng cili padi dan belacan tanpa minyak
Mula-mula, goreng cili padi bersama belacan tanpa menggunakan minyak sehingga naik bau.
Langkah ini membantu mengurangkan kelembapan pada bahan, tetapi tidak menjamin semua mikroorganisma berbahaya musnah.
2. Kisar kasar bersama gula, garam dan jus limau
Selepas itu, kisar bahan tadi secara kasar bersama gula, garam dan jus limau mengikut cita rasa.
Jus limau memberikan rasa masam yang menyegarkan. Kandungan asidnya juga boleh membantu menghalang pertumbuhan sesetengah mikroorganisma.
MENARIK DIBACA: Wanita 'claim' buat sambal belacan tersedap di muka bumi, tak lokek kongsi resipi
MENARIK DIBACA: Bahan sama cara buat beza, rahsia sambal belacan Kelantan harum dan padu!
3. Simpan dalam bekas kaca yang bersih
Setelah siap, masukkan sambal belacan ke dalam bekas kaca yang bersih dan kering.
Pastikan bekas ditutup rapat bagi mengurangkan pencemaran daripada persekitaran.
4. Simpan dalam peti sejuk
Untuk mengelakkannya lambat rosak, simpan sambal belacan dalam peti sejuk sebaik sahaja selesai disediakan.
Gunakan sudu yang bersih dan kering setiap kali mengambil sambal.