Santan kotak selesaikan masalah rambut gugur, suami botak tak teragak amal petua sama
SANTAN sering dikaitkan dengan aneka hidangan tradisional seperti gulai, rendang dan kuih-muih, namun siapa sangka bahan dapur itu juga dipercayai mampu membantu mengurangkan masalah keguguran rambut.
Perkongsian seorang wanita dikenali sebagai Zulfahanani menjadi perhatian ramai apabila dia mendedahkan rutin menggunakan santan kotak untuk merawat masalah rambut.
Malah dia turut memaklumkan suaminya kini turut mengamalkan petua sama selepas melihat perubahan positif pada rambutnya.
"Saya kata dah! Sekarang, suami saya pula terjebak sapu santan kotak dekat rambut sebab dia nampak rambutnya makin lebat.
"Ibu-ibu yang mengalami keguguran rambut selepas bersalin, pergi sapu sekarang. Jimat duit poket pun ye juga," kongsinya di laman sosial.

Menurut Zulfahanani, dia lebih gemar menggunakan santan kotak bersaiz kecil anggaran 65ml kerana kuantitinya mencukupi untuk sekali penggunaan tanpa berlaku pembaziran atau perlu menyimpan lebihan santan.
Suaminya yang mengalami masalah rambut nipis di bahagian hadapan kepala kini mengamalkan 'syampu santan' kira-kira tiga kali seminggu dan perubahan ketara mula kelihatan apabila rambut tumbuh semakin lebat.
MENARIK DIBACA: Simpan durian 'frozen' dalam bekas banyak kelemahan, teknik balut lebih tahan lama
MENARIK DIBACA: Beli Musang King RM400, dapat isi hancur! Penjual 'refund' RM200 tapi tak ikhlas, mengaku 'tak halalkan'
"Paling penting sapu santan di bahagian kulit kepala sebab dari situ akan halang rambut gugur dan jika boleh ratakan ke seluruh rambut juga untuk melembutkannya," katanya.
Turut berkongsi cara penggunaan, Zulfahanani menjelaskan rambut tidak perlu dibasahkan terlebih dahulu sebelum santan disapu rata pada kulit kepala dan keseluruhan rambut.
Kemudian biarkan selama 10 hingga 15 minit sebelum dibilas dan dicuci menggunakan syampu seperti biasa.

"Kalau ada shower cap, lebih baik pakai. Kalau tak ada pun tak apa. Seminggu sekali paling minimum, tiada had maksimum. Lagi banyak buat lagi cepat nampak hasil.
"Jangan risau, tak bau kelapa pun rambut kita tapi smooth and silky!" ujarnya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya, khususnya wanita yang mengalami masalah rambut gugur selepas bersalin.
Ramai teruja untuk mencuba petua berkenaan kerana menggunakan bahan mudah diperoleh dan jauh lebih menjimatkan berbanding rawatan rambut di salon.