Kecewa 'terbeli' nasi lemak dijual orang Indonesia, sambalnya 'gagal'!
SEBAGAI pengguna sudah tentu kita lebih mengutamakan kepuasan hati dan rasa jika membeli sesuatu makanan.
Makanan Malaysia yang dimasak sendiri oleh orang tempatan rasanya semestinya lebih autentik dan mengikut selera masyarakat di negara ini.
Pada masa sama, sedikit sebanyak dapat membantu penjual warga tempatan mencari rezeki terutama dalam kalangan peniaga kecil.
Seorang pengguna di Threads berkongsi pengalaman 'terbeli' nasi lemak daripada seorang peniaga yang didakwa merupakan warga Indonesia.

Dalam perkongsiannya, dia memaklumkan singgah ke sebuah gerai di Selangor untuk membeli sarapan nasi lemak, tanpa menyedari status penjualnya.
"Dilema beli nasi lemak pagi di gerai sekitar Selangor.
"Dalam hati tertanya-tanya akak Indonesia ke?
"Dia balas terima kasih 'ya'. Bayar dan berlalu," kongsinya.
Pengguna tersebut berkata jika dia membeli daripada penjual tempatan, sedikit sebanyak ia dapat membantu mereka meraih pendapatan.
MENARIK DIBACA: Penjual nasi lemak kedekut, hanya 'berlakon' cedok lebih hakikatnya cuma beberapa butir
MENARIK DIBACA: Teruja jumpa nasi lemak bungkus 'ikat penuh', rupanya orang dulu-dulu dah lama buat!
"Kita ni ingatkan nak tolong peniaga lokal.
"Alih-alih orang lain pula menjual," ujarnya.
Perkongsian yang awalnya sekadar untuk meluah kekecewaan, akhirnya mendapat perhatian pengguna lain apabila masing-masing berkongsi pengalaman 'terbeli' nasi lemak yang dijual oleh bukan orang tempatan.

Rata-rata mereka bukan enggan membeli kerana status warga asing peniaga, namun ramai beranggapan rasa sambal nasi lemak dimasak orang Indonesia tidak sama dengan sambal tumis air tangan orang tempatan.
"Samalah, saya mengidam nasi lemak, rupa-rupanya penjual orang seberang. Rasa macam sambal merah, kecewa bila makan.
"Saya pernah beli nasi lemak. Masa nak bayar dengar dia cakap 'makasih ya'. Terus tak ada selera. Sambal dia tak sama macam sambal nasi lemak biasa," kata beberapa pengguna.

Selain faktor rasa, aspek kebersihan status makanan dijual turut menjadi perkara utama yang 'membantutkan' keinginan pembeli tempatan.
"Sebenarnya saya was-was kalau orang Indonesia masak. Tak terjamin kebersihannya.
"Tak berapa suka peniaga Indonesia sebab mereka bukan ambil kisah sangat tentang halal haram," antara pandangan netizen.