Gara-gara ulasan nasi pad krapow RM31.45, lelaki dituntut bayar ganti rugi RM121,000
SEORANG lelaki di Bangkok, Thailand dilaporkan berdepan tuntutan ganti rugi berjumlah 1 juta baht (RM121,000) selepas membuat ulasan mengenai nasi pad krapow yang dibelinya pada harga 260 baht (RM31.45).
Lelaki itu menerima tindakan undang-undang selepas memuat naik video memaparkan nasi pad krapow ayam bersama telur goreng yang dibeli di medan selera sebuah hospital.
Pemilik restoran berkenaan memfailkan saman atas dakwaan fitnah melalui penerbitan serta pelanggaran undang-undang berkaitan jenayah komputer dan penetapan harga barangan serta perkhidmatan pada 20 Oktober lalu.

Memetik laporan, lelaki itu berkata dia singgah makan di medan selera sebuah hospital selepas membawa anaknya untuk janji temu perubatan.
Dia kemudian memuat naik video di media sosial mengulas tentang harga makanan dibeli dan dalam tempoh dua hingga tiga hari, perkongsiannya meraih lebih 8,000 komen sebelum dia menerima dokumen mahkamah berhubung tuntutan ganti rugi.
Isterinya turut dilaporkan mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
MENARIK DIBACA: Sushi Push Pop jadi fenomena di New York, disajikan dalam bekas silinder
MENARIK DIBACA: Bukan sekadar wangi, rupanya ada sebab lain daun bawang perai laris musim Tahun Baharu Cina
Sementara itu, peguam Monchai Chongkairattanakul menjelaskan bahawa orang ramai berhak memberikan kritikan secara jujur.
Dia turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan ulasan dalam talian berasaskan fakta serta mengelakkan tuduhan palsu dan penyebaran maklumat mengelirukan yang boleh membawa implikasi undang-undang.
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya memastikan setiap ulasan dalam talian berasaskan fakta menggunakan perkataan yang sesuai serta mengelakkan tuduhan palsu.
Perkongsian di media sosial bukan sahaja boleh mencetuskan perdebatan tetapi berpotensi membawa implikasi undang-undang jika melanggar peraturan yang ditetapkan.