Penjual nasi lemak kedekut, hanya 'berlakon' cedok lebih hakikatnya cuma beberapa butir
SIKAP peniaga nasi lemak yang didakwa terlalu berkira mengundang rasa kurang senang seorang pelanggan sehingga dia terpanggil untuk berkongsi pengalamannya di media sosial.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads, pelanggan tersebut berasa tidak puas hati dengan sikap peniaga nasi lemak yang didakwa kedekut.
Menurutnya, peniaga terbabit bertindak mengeluarkan semula nasi yang sudah diletakkan dalam bungkusan sebelum meminta pelanggan membayar tambahan RM1 sekiranya mahukan nasi lebih.
Apa yang membuatkan pelanggan itu kecewa adalah, nasi tambah yang diberikan selepas bayaran tambahan dibuat terlalu sedikit, ibarat dua hingga tiga butir sahaja.

"Dah letak dia keluarkan balik (nasi) malah dia minta pelanggan add on RM1 untuk nasi lebih, tapi nasi macam dua, tiga butir je tambah,” dakwanya.
Tidak terhenti di situ, pelanggan itu turut mendakwa peniaga berkenaan sebelum ini sudah menerima teguran dan nasihat orang ramai di media sosial, namun cara dia memberikan respons dikatakan kurang disenangi.
Menurutnya, sebagai seorang peniaga, sikap merendah diri dan menghormati pelanggan amat penting, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan kritikan atau teguran orang ramai.
MENARIK DIBACA: Sedapnya cecah ayam bakar, tak menyesal buat sos Greek yogurt ala Mediterranean
MENARIK DIBACA: Bergedil rangup di luar, dalam penuh daging... Cecah sambal kicap memang 'layan'
"Cedok dua, tiga kali, kesian pelanggan 'expect' nasi banyak, rupanya sikit macam beli RM1.50 je dengan timun tak ada,” katanya lagi.
Perkongsian tersebut kemudiannya mengundang pelbagai reaksi netizen.
Ada yang berpandangan bahawa memberikan nasi lebih sememangnya melibatkan kos dan peniaga berhak menentukan saiz hidangan berdasarkan harga jualan.
Bagaimanapun, mereka berpendapat sekiranya pelanggan sanggup membayar lebih untuk mendapatkan kuantiti lebih peniaga tidak sepatutnya 'berlakon' mencedok nasi tambahan.
"Saya faham je kalau bagi lebih akan melibatkan costing. Tapi kalau dah memang nak bagi portion tu, bagi je la banyak tu je. Tak payah buat-buat macam cedok lebih tapi tak ada pun nasinya atau kalau ada pun sebutir dua je,” komen seorang netizen.

Seorang lagi netizen pula mengingatkan tentang pesan orang tua-tua yang menganggap tidak elok mengeluarkan semula makanan selepas sudah diletakkan untuk pelanggan.
"Ada orang tua pesan, kita kalau berniaga, kalau dah terkaut lebih, jangan kaut keluarkan balik. Tak elok," katanya.
Dalam pada itu, ada juga netizen yang melihat berniaga makanan sebagai satu peluang untuk berkongsi rezeki, khususnya apabila melibatkan lebihan makanan dalam kuantiti yang kecil.

"Awat la perangai macam tu. Padahal berniaga ni la paling senang nak sedekah. Rugi tak 'grab' pahala sedekah tu," ujarnya.
Walaupun setiap peniaga mempunyai pengiraan kos dan margin keuntungan masing-masing, perkara ini menunjukkan bahawa saiz makanan dan layanan pelanggan juga boleh mempengaruhi pengalaman serta persepsi mereka.
Dalam perniagaan makanan, pelanggan bukan sahaja melihat kepada rasa dan harga, malah layanan serta cara peniaga berkomunikasi juga sering menjadi antara faktor yang menentukan sama ada mereka akan kembali membeli atau sebaliknya.