Beli 5 dapat 4! Wanita syak sambal bilis KA kena 'rembat' masa proses penghantaran
SELEPAS 'berjuang' mendapatkan Sambal Nyet Bilis produk terbaharu pempengaruh dan usahawan Khairul Aming (KA), sudah tentu besar harapan pelanggan untuk menikmati sambal tersebut.
Bagaimanapun, lain pula nasib seorang wanita apabila satu daripada lima botol sambal yang dipesannya didapati hilang ketika pakej berkenaan dihantar.
Menerusi perkongsian di laman Threads, wanita itu memberitahu hanya menerima empat botol sambal, bukan lima seperti mana dipesan.
“Parcel saya dah selamat mendarat tapi saya dapat empat botol je, satu botol lagi menjadi misteri,” katanya.

Menurut wanita itu, dia kemudian menghubungi pihak KA untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara tersebut.
Katanya, pihak KA mendakwa terdapat perbezaan pada bungkusan asal yang dihantar kepada pelanggan, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada berlaku masalah ketika proses penghantaran.
“Mereka claimed parcel yang mereka pos ke customer adalah warna dark grey, bukannya putih macam yang saya dapat. Tapi mereka akan siasat dengan kurier,” ujarnya.
Situasi ini membuatkan dia bimbang sekiranya bungkusan tersebut telah dibuka atau dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.
MENARIK DIBACA: Ada cengkerang dalam Sambal Nyet Bilis, netizen anggap tanda produk ‘fresh’
MENARIK DIBACA: Nak ‘battle’ Sambal Nyet Bilis, trip Itali? Khairul Aming kongsi tip pemenang terdahulu
Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian KA yang mengambil maklum mengenai isu ini.
Usahawan itu memaklumkan pihaknya akan menyiasat perkara tersebut bersama syarikat kurier, selain menghantar satu botol sambal baharu kepadanya.
“Ke manakah hilang lagi sebotol? Memang sepatutnya lima botol. Tak apa, sementara team saya siasat kes ni dengan courier, kami hantarkan dulu sambal yang baru. So sorry,” katanya.

Dalam pada itu, rata-rata netizen di ruangan komen turut mengesyaki berlaku kecuaian di pihak kurier dan menyifatkan kejadian berkenaan sebagai serius.
“Jangan sampai KA buka syarikat kurier sendiri ye. KA Express demi nak pastikan barang sampai selamat.
“Jahatnya perangai, suka hati buka parcel orang lepas tu curi.
“Sambal pun kena rembat eh. Cuba kalau emas dalam tu, silap-silap bayang pun tak ada dah,” antara komen netizen.