Laman Agrofood, 'floating market' antara tarikan MAHA 2026... Sasar 4 juta pengunjung
PERSIAPAN bagi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2026 (MAHA 2026) kini mencapai kira-kira 80 peratus sebelum pembukaannya kepada orang ramai.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, persiapan menjelang pembukaan MAHA 2026 kini berjalan lancar dengan keseluruhan tapak pameran berada dalam proses akhir persiapan.
"Hari ini kita lihat keseluruhan laman MAHA berjalan dengan lancar dan tahap persiapan kini telah mencapai sekitar 80 peratus," katanya ketika sidang media selepas meninjau persiapan acara itu di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (Maeps) pada Rabu.
Mengangkat tema 'Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan', Maha 2026 menyasarkan kehadiran sekitar empat juta pengunjung melibatkan kira-kira 2,000 pempamer dari dalam dan luar negara.
"Penganjuran kali ini dijangka menarik lebih empat juta pengunjung kerana turut berlangsung serentak dengan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di mana ia turut dimeriahkan dengan pertunjukan dron dan bunga api," katanya.

Menurut beliau, MAHA 2026 turut menyasarkan sekurang-kurangnya RM58 juta dalam jualan langsung manakala potensi pelaburan dan perdagangan dianggarkan mencapai RM8 bilion.
"Penglibatan belia pula disasarkan sekitar 800,000 orang termasuklah pelajar-pelajar universiti dan kolej yang terlibat," tambahnya.
Lebih menarik, MAHA 2026 bakal menghimpunkan pelbagai pihak daripada ekosistem agromakanan negara termasuk petani, penternak, nelayan, usahawan, pemain industri, penyelidik, pelabur, belia serta masyarakat umum.
MENARIK DIBACA: Cadangan tanam sayur oleh Mat Sabu susulan konflik Asia Barat dikritik netizen – “Duduk flat tiada tanah macam mana?”
MENARIK DIBACA:Nama Musang King hak milik Malaysia, negara lain tak boleh suka-suka guna – Mat Sabu
Penganjuran kali ini memberi penekanan kepada teknologi, inovasi, pertanian pintar, peluang perniagaan dan pasaran antarabangsa, selain menawarkan pelbagai pengisian yang sesuai untuk pengunjung seisi keluarga.
Antara tarikan utama ialah MAHA Go Global, International Country Pavilion, Exporter’s Club, Agrotech, Agro Masterclass dan Competition, Pameran Mekanisasi, Kingdom of Agrofood, Food Truck Fiesta, Pavilion Negeri dan Kiddies Wonderland.

Pengunjung juga berpeluang menerokai pelbagai Laman Agrofood yang mengetengahkan sektor florikultur, sayur-sayuran, herba, kelulut, veterinar, perikanan, padi, nanas serta 'smart farming'.
Selain pameran, MAHA 2026 turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk 'floating market' (pasar terapung), sukan rakyat, rewang warisan dan Rhythm of the Farmers (ROTF).
Menerusi MAHA Go Global, penyertaan dari 14 negara luar akan dibawa ke MAHA 2026, selain kehadiran 40 international buyers yang terdiri daripada pemborong, pengedar dan peruncit.
Inisiatif ini bertujuan membuka lebih banyak peluang jaringan dan pasaran kepada usahawan tempatan, khususnya bagi produk yang bersedia untuk dieksport.
Sektor agromakanan juga akan dibawa ke Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia 2026 menerusi penglibatan kira-kira 100 peserta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Penglibatan itu turut menampilkan sebuah kereta berhias bertemakan pertanian dan keterjaminan makanan serta jentera pertanian terkini.
MAHA 2026 akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September 2026, setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam.