Kari ayam Malaysia jatuh dari ranking 1 ke posisi 16, makanan Peru dipilih Stew Terbaik Dunia 2026
TAHUN lalu menyaksikan kari ayam Malaysia dinobatkan sebagai Stew Terbaik Dunia 2025 dalam senarai 50 stew terbaik selepas menduduki posisi pertama portal kulinari antarabangsa, TasteAtlas.
Bagaimanapun nasib hidangan berasaskan santan dan rempah ratus itu berbeza pada tahun ini apabila senarai terbaharu yang dikeluarkan TasteAtlas pada 15 Oktober 2026 menunjukkan kari ayam Malaysia jatuh ke tangga 16 dalam senarai 50 Stew Terbaik bagi 2026 dengan nilai 4.3.
Menerusi senarai yang dikeluarkan, kedudukan tempat pertama kari ayam Malaysia telah dirampas oleh hidangan dikenali 'seco de cabrito' dari Peru.

'Seco de cabrito' merupakan sejenis hidangan tradisional Peru yang menggunakan daging anak kambing khas dari bahagian utara negara Amerika Latin itu seperti Piura, Lambayeque dan Trujillo.
Berada di posisi kedua ialah 'phanaeng curry', iaitu sejenis kari merah khas Thailand yang terkenal dengan teksturnya yang pekat dan berkrim dengan sentuhan rasa kacang yang unik.
MENARIK DIBACA: Musang King tersenarai antara buah tropika terburuk dunia
MENARIK DIBACA: Malaysia perkukuh kuasa kulinari serantau, lapan sajian masuk senarai 100 terbaik dunia... Mi Bandung ditangga kelima
Manakala tempat ketiga pula menjadi milik 'hunkar begendi', iaitu hidangan berkuah klasik dari Turkiye berupa puri terung dan daging kambing.
Negara jiran, Indonesia pula berada di tangga ketujuh dan ke-11, masing-masing untuk hidangan gulai dan rendang.
TasteAtlas dalam kenyataannya berkata, kedudukan makanan TasteAtlas adalah berdasarkan penilaian daripada pengguna platform tersebut tanpa melibatkan sentimen nasionalisme atau semangat patriotik tempatan.

Platform itu turut memberikan nilai tambahan kepada penilaian pengguna yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang makanan.
Sehingga 15 Oktober 2026, sebanyak 46,973 penilaian telah direkodkan, dengan 27,537 daripadanya dikenal pasti oleh sistem sebagai penilaian yang sah.