Terhibur tengok gelagat Jebat Jayden nikmati timun, bawang dan kicap - "Nak jaga badan"
GELAGAT anak kepada pasangan selebriti Noor Nabila dan Sharnaaz Ahmad iaitu Jebat Jayden, mencuri perhatian ramai apabila dilihat menikmati hidangan ringkas yang dianggap luar biasa bagi seorang kanak-kanak.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Jebat dilihat berselera menikmati hirisan timun bersama bawang yang dicincang halus dan dicampurkan dengan kicap masin.
Melihat makanan 'rare' yang dimakan anaknya, Noor Nabila bertanyakan tentang rasa gabungan hidangan tersebut sama ada sedap atau tidak.

"Makan apa tu? Sedap tak?" soal Nabila.
Kanak-kanak berusia lapan tahun itu kemudiannya dengan penuh yakin memberitahu makanan yang dimakan sangat sedap, malah turut mengajak ibunya mencuba hidangan berkenaan.
Bagaimanapun, ketika disoal tentang sebab dia hanya menikmati hirisan timun dan bawang, Jebat membuatkan ibunya terkedu apabila memberitahu dia mahu menjaga badannya.
"Nak jaga badan," jawabnya ringkas.
MENARIK DIBACA: Penjual nasi lemak kedekut, hanya 'berlakon' cedok lebih hakikatnya cuma beberapa butir
MENARIK DIBACA: Teruja jumpa nasi lemak bungkus 'ikat penuh', rupanya orang dulu-dulu dah lama buat!
Reaksi spontan Jebat yang juga anak buah kepada personaliti popular, Neelofa itu ternyata menghiburkan ramai pengguna media sosial yang menonton video berkenaan.
Di ruangan komen, ada yang menyifatkan kombinasi timun, bawang dan kicap sebagai hidangan ringkas tetapi cukup menyelerakan.
Malah, tidak kurang juga yang mengakui makanan berkenaan mengembalikan nostalgia ketika zaman kanak-kanak apabila pernah menikmati makanan serupa semasa kecil.
“Eh, sedap ni timun bubuh kicap, bawang mayang halus-halus. Tu sebaiknya goreng dulu, tapi dah Jebat nak diet, okaylah dia makan mentah. Selalu buat timun kicap bawang ni makan dengan kari ikan,” tulis seorang pengguna.

"Nampak mcm pelik kan? Tapi apa yang dia makan ni bagus banyak antioksidan. Antioksidan ni elak tubuh kita ada keradangan atau senang cerita badan tak mudah kena kanser, bawang mentah dan timun on top.
"Terus teringat makanan kegemaran masa kecil. Timun, kicap, bawang dan cuka. Makan macam ni, ratah je," komen pengikutnya dalam Instagram.
Untuk rekod, Jebat Jayden merupakan cahaya mata tunggal Noor Nabila hasil perkongsian hidup bersama pelakon, Sharnaaz Ahmad.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Mac 2017 sebelum berpisah pada Julai 2020.