Ada muslim tak makan udang, sotong dan ketam sebab haram! Hukum berbeza ikut mazhab
RAKYAT Malaysia tiada masalah dalam menikmati lauk pauk berasaskan makanan laut seperti udang, sotong, ketam dan kerang, tetapi lain pula ceritanya bagi sesetengah masyarakat Islam di negara lain.
Ada yang tidak menjamah makanan laut selain ikan kerana berpegang kepada pandangan dalam mazhab Hanafi, yang menetapkan hukum berbeza.
Perkara ini turut dikongsikan seorang pengguna Threads yang memberitahu bahawa pengikut mazhab Hanafi hanya mengambil ikan sebagai makanan laut halal.
“Ramai yang tak tahu, mazhab Hanafi adalah satu-satunya mazhab yang makan ikan sahaja dan tidak menghalalkan hidupan laut yang lain.

“Penganut mazhab ini ramai di Turkiye, India, Pakistan, Bangladesh, Mesir, Syria dan Lubnan.
"Sebab itu kalau perasan, orang Pakistan, Bangladesh yang ada di sini tak makan sotong dan udang,” jelasnya.
Perkongsian itu kemudian menarik perhatian ramai, malah ada netizen yang berkongsi pengalaman mereka bertemu dengan masyarakat dari negara berkenaan.
“Betul, pelajar 'intern' saya dari Afghanistan dia hairan aku makan udang. Dia kata tak halal. Lepas tu dia boleh ‘sekolahkan’ aku pula.
MENARIK DIBACA: Berlima makan 'seafood' di Langkawi harga cecah RM600, pelanggan keliru mahal atau murah
MENARIK DIBACA: Hukum kunyah sisa makanan ketika solat, batal atau tidak? Ini penjelasan Ustaz Azhar Idrus
“Pernah tinggal dengan orang Bangladesh. Bila nampak kita makan udang dan sotong, boleh dia kata itu makanan untuk bukan Islam saja,” antara komen netizen.
Menurut penjelasan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI), memang terdapat perbezaan pandangan ulama mengenai haiwan yang hidup di laut.
Katanya, dalam mazhab Hanafi, pendapat yang masyhur menetapkan hidupan laut yang halal dimakan hanyalah haiwan yang bentuknya memenuhi kriteria ikan (samak).
"Pandang Imam Hanafi yang Nabi Muhammad maksudkan hanyalah ikan sahaja. Berbeza dengan pendapat ulama jumhur.

"Sotong, udang, kepah, kerang, dan ketam bukan dalam kategori ikan," jelasnya.
Jelasnya, berbeza dengan Mazhab Hanafi, Mazhab Syafie berpandangan bahawa haiwan yang hidup sepenuhnya di dalam air pada asasnya halal dimakan.
"Mazhab lain membenarkan makan binatang laut kecuali yang memudaratkan kesihatan seperti beracun, bertaring dan berduri," ujarnya.