Berlima makan 'seafood' di Langkawi harga cecah RM600, pelanggan keliru mahal atau murah
MENIKMATI hidangan makanan laut sememangnya menjadi antara perkara wajib bagi pelancong yang berkunjung ke Langkawi.
Pulau peranginan itu terkenal dengan bekalan makanan laut segar, membuatkan ramai beranggapan harganya lebih berpatutan berbanding destinasi pelancongan lain.
Bagaimanapun, lain pula pengalaman seorang individu yang mendakwa terkejut apabila perlu membayar hampir RM600 untuk hidangan makanan laut untuk lima orang.
Menurutnya, dia sendiri tidak pasti sama ada jumlah tersebut berbaloi dengan hidangan yang diterima.

"Tanya je jangan marah. Tak ada niat nak menjatuhkan peniaga Melayu ni sebab tu saya 'sensor'kan nama kedai. Korang rasa mahal ke murah?
"Makan untuk lima orang. Lokasi di Jeti Langkawi," tulisnya menerusi hantaran di Threads.
Bersama perkongsian itu, individu berkenaan turut memuat naik gambar resit pembayaran yang memaparkan harga bagi setiap hidangan.
Berdasarkan resit tersebut, seekor ikan kerapu Pakmin seberat 1.3 kilogram berharga RM317, manakala udang seberat 400 gram berharga RM100.
MENARIK DIBACA: Pelanggan kecewa... Pesan nasi, tomyam dan telur dadar tapi satu menu pun tak boleh makan!
MENARIK DIBACA: Meriah menjelang Ramadan... Lepas 'shopping' di Pasar Chow Kit, baru faham kenapa ramai redah walau sesak
Dua ekor ketam pula dicaj RM90, sementara sepinggan telur dadar berharga RM10 menjadikan jumlah kesemuanya yang perlu dibayar adalah RM579.40.
Perkongsian itu mengundang perhatian ramai dengan rata-rata netizen mengecam tindakan peniaga tersebut yang dirasakan meletakkan harga mahal.
Malah, ada yang turut menggesa agar perkara itu dilaporkan kepada pihak berkuasa.
"Kami dah terkena. Lebih 10 tahun dulu makan dekat deretan kedai depan parkir jeti tu. Memang terkejut bila tengok harga makanan, tak logik.

"Mahal sangatlah. Report je KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup). Melampau sangat. Tak logik akal harga ikan, ketam dengan udang siap masak macam tu," antara komen netizen.
Bagaimanapun, seorang pengguna tampil memberikan pandangan berbeza dengan menjelaskan harga makanan laut hidup sememangnya lebih tinggi kerana melibatkan kos penternakan dan penyelenggaraan.
"Daripada pandangan saya yang dah lama menetap di Langkawi, ikan segar yang baru disauk dari kolam atau 'fish farm' memang nilainya tinggi.
"Kos menjaga, memberi makan dedak dan cebisan ikan sebagai makanan memang tinggi," jelas seorang netizen.
Untuk info, ikan 'kerapu Pakmin' ialah istilah tempatan di Langkawi bagi merujuk kepada ikan kerapu kertang atau 'giant grouper' (nama saintifik Epinephelus lanceolatus).
Spesies ikan laut berukuran gergasi ini sangat terkenal dalam kalangan nelayan, pemancing, dan industri akuakultur kerana saiznya yang boleh mencapai ratusan kilogram.