Meriah menjelang Ramadan... Lepas 'shopping' di Pasar Chow Kit, baru faham kenapa ramai redah walau sesak
MENJELANG Ramadan, ramai mula membuat persiapan awal dengan membeli bahan mentah untuk memasak juadah sahur dan berbuka.
Ada yang selesa membeli di pasar raya, namun tidak kurang juga yang lebih rela bangun awal pagi demi mendapatkan barangan segar yang dianggap berpatutan di pasar basah.
Seorang wanita dikenali Farisha Wosfi mencuri perhatian warga Threads apabila berkongsi hasil 'tangkapan' bahan mentah segar pada harga rendah.
Wanita ini memuat naik pengalaman pertama kali ke pasar Chow Kit di Kuala Lumpur untuk membeli barangan basah dan terkejut melihat keadaan pasar itu yang sudah sesak biarpun hari masih awal.

"Saya tiba seawal jam 6.30 pagi untuk mendapatkan stok bahan mentah bagi persiapan menu Ramadan.
"Jumlah pengunjung di sini sangat wow (meriah)," kongsinya.
Katanya, suasana di pasar itu bagaikan ‘diserbu’ kerana ramai pembeli sanggup datang awal demi mendapatkan bahan memasak pada harga yang dikatakan lebih murah.
MENARIK DIBACA: Lori durian tarikan utama bufet Ramadan Hilton PJ... Musang King, XO, udang merah semua ada!
MENARIK DIBACA: [V] Makan di premis mewah, pelanggan cabut bulu ketiak letak dalam pinggan nak elak bayar bil
“Pasar Chow Kit kena serbu. Orang kata murah, sebab tu ramai sanggup redah pagi-pagi,” tulisnya ringkas, menggambarkan suasana meriah dengan pengunjung yang memenuhi setiap lorong gerai.
Dalam perkongsian sama, Farisha turut memuat naik gambar barangan yang dibeli bernilai RM100 sambil bertanya kepada warga maya sama ada ia berbaloi atau tidak.
Antara bahan mentah dibeli termasuk ikan, udang, sotong dan daging untuk kegunaan memasak sepanjang Ramadan.

Gambar yang dikongsikan memperlihatkan kuantiti bahan yang agak banyak, sekali gus menimbulkan perbincangan tentang perbandingan harga dengan pasar lain serta pasar raya.
Paling menarik perhatian tentunya sotong yang dijual pada harga RM18 sekilogram.
Rata-rata netizen berpendapat pembelian tersebut sangat berbaloi lebih-lebih lagi bagi barangan seperti sotong yang kebiasaannya dijual pada harga lebih tinggi di tempat lain.
Ada juga yang berkongsi pengalaman masing-masing membeli di pasar sama dan mengakui berpuas hati dengan harga ditawarkan.
"I rela pergi redah Pasar Chow Kit, serik 'order' online, iklan 'wow' sekali dapat ikan lembik, pecah perut tak 'fresh' langsung.
"Yes Pasar Chow Kit memang murah. Selalu 'stock up' 'seafood' kat situ tapi kalau ayam dan daging saya prefer Pasar Besar TTDI.
"Love Chow Kit, sampai dah kenal dekat mana 'spot' nak beli udang, ayam, daging, ikan, sayur dan buah yang murah," antara komen netizen.
