Kurang rasa haus ketika puasa, betul ke garam celtic ada magis? Ini fakta anda perlu tahu
SETIAP kali tibanya Ramadan, setiap umat Islam akan berdepan cabaran menahan lapar dan dahaga.
Menjelang tengah hari, tekak mula terasa kering, badan pula menjadi lemau dan kurang bertenaga.
Tidak hairanlah banyak petua dan tip diamalkan terutamanya bagi mengurangkan rasa haus sepanjang berpuasa.
Antaranya termasuk minum air secukupnya pada waktu malam, mengambil kurma ketika sahur serta mengelakkan minuman manis.

Ramai juga yang mengelakkan makanan masin kerana ia boleh menyebabkan kita cepat haus keesokan hari.
Terbaharu, tular trend pengambilan celtic salt atau garam bukit sebagai alternatif untuk mengurangkan rasa haus ketika berpuasa.
MENARIK DIBACA: Daun kaduk bukan setakat sedap dibuat miang kham, ini 5 fakta menarik tentangnya
MENARIK DIBACA:Mulut bau bangkai walaupun jaga kebersihan oral, hati-hati 5 penyakit ini boleh jadi punca
Trend ini sekali gus menimbulkan persoalan sama ada pengambilannya benar-benar membantu atau sebaliknya?

Menurut perkongsian Dr Samhan di laman TikTok miliknya, garam bukit berbeza daripada garam biasa kerana kandungan sodiumnya lebih rendah manakala mineral lain seperti magnesium, kalium dan kalsium adalah lebih tinggi dilihat bermanfaat untuk kesihatan tubuh.
Kongsi doktor itu lagi, garam bukit mampu membantu mengurangkan rasa haus sepanjang berpuasa dengan berkurangnya kekerapan membuang air kecil tetapi tetap tidak boleh diambil secara berlebihan.
Menurutnya, garam ini membantu mengekalkan kandungan air dalam badan.
Justeru pengambilan hanya secubit garam bukit yang dilarutkan dalam air suam dan diminum ketika sahur itu boleh diamalkan ketika berpuasa.
Sementara itu, menurut perkongsian di akaun Public Health Malaysia garam bukit sering dikatakan lebih ‘sihat’ kerana tidak ditapis dan mengandungi lebih banyak mineral seperti magnesium, kalium dan kalsium berbanding garam biasa.

"Namun dari segi kesan fisiologi terhadap dehidrasi, garam ini masih berfungsi sama seperti garam biasa kerana ia masih mengandungi sodium yang tinggi.
"Sodium ini masih akan meningkatkan kepekatan darah, menyebabkan air ditarik keluar dari sel dan akhirnya meningkatkan rasa haus.
"Otak akan mengesan kepekatan sodium yang meningkat dan menghantar isyarat haus dan ini akan menyebabkan berasa lebih dahaga," kongsi Public Health Malaysia di Facebook.
Menurut perkongsian itu lagi, cara untuk mengurangkan dahaga semasa puasa adalah minum air secukupnya antara berbuka hingga sahur (6-8 gelas sehari), kurangkan makanan tinggi garam termasuk garam celtic dan tidak diambil dalam kuantiti berlebihan serta pilih makanan semula jadi tinggi elektrolit seperti pisang, kurma dan air kelapa untuk membantu keseimbangan cecair.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, garam celtic bukan solusi khas untuk menghilangkan rasa haus.
Sedikit garam mungkin membantu keseimbangan elektrolit, tapi kunci utama tetap hidrasi yang cukup dan pemilihan makanan yang betul.
Tidak ada bukti kukuh bahawa garam celtic secara khusus boleh hilangkan rasa dahaga ketika berpuasa.
Secara asasnya, ia tetap natrium klorida (garam) — sama seperti garam biasa.
Fakta lebih tepat, sedikit garam boleh membantu keseimbangan elektrolit, tetapi ia bukan 'magik' dan tidak sesuai diambil berlebihan.
