Peniaga bazar perlu patuh 4 syarat ini sebelum berniaga, pakai cincin antara larangan ketika kendali makanan
MENJELANG bulan puasa, bazar Ramadan pasti menjadi antara lokasi paling meriah dan dikunjungi ramai pengunjung.
Pelbagai juadah istimewa yang dijual sememangnya membangkit selera, sampai rambang mata untuk memilih.
Ketika inilah golongan peniaga mengambil peluang untuk menggiatkan promosi untuk meraih lebih keuntungan.
Namun begitu, aspek kebersihan dan keselamatan makanan tidak boleh dipandang ringan, bukan sekadar menjual sahaja!
Bagi abang-abang dan kakak-kakak yang ingin berniaga, pastikan semua syarat sebagai pengendali makanan dipatuhi.
Menurut perkongsian di laman Threads oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (BKKM JKWPKL) terdapat beberapa 'checklist' penting yang perlu diperiksa sebelum memulakan perniagaan di bazar Ramadan, antaranya;
MENARIK DIBACA: Elok makan telur kalau kena bisul, bukan penyebab jangkitan lambat sembuh
MENARIK DIBACA: Mulut bau bangkai walaupun jaga kebersihan oral, hati-hati 5 penyakit ini boleh jadi punca

1. Tapak bazar
Sebelum memulakan perniagaan, pastikan tapak diperoleh sesuai dan selamat untuk penyediaan serta penjualan makanan.
Lokasi gerai hendaklah berada jauh dari sumber pencemaran seperti kawasan pelupusan sampah, reban ayam, longkang terbuka, kawasan industri berat atau mana-mana persekitaran yang boleh menjejaskan kebersihan makanan.
Pemilihan tapak bersih dan teratur bukan sahaja mengurangkan risiko pencemaran, malah memberi keyakinan kepada pelanggan terhadap kualiti makanan dijual.

2. Peralatan dan perkakasan
Peralatan yang sudah lama tidak digunakan perlu diperiksa dengan teliti sebelum digunakan semula.
Pastikan semua alat dan perkakasan berada dalam keadaan baik, tidak berkarat, tidak retak dan selamat digunakan.
Peralatan rosak hendaklah dibuang serta merta manakala yang sedia ada perlu dicuci dan dibersihkan semula walaupun kelihatan bersih pada pandangan mata.
Elakkan menyimpan peralatan di kawasan terbuka, berhampiran longkang atau di tempat yang boleh menjadi lokasi persinggahan haiwan seperti anjing dan kucing.

3. Pengendali makanan
Setiap individu mengendalikan makanan sama ada pemilik atau pekerja wajib memenuhi syarat yang telah ditetapkan.
Mereka perlu menerima suntikan vaksin 'antityphoid' serta menghadiri Kursus Pengendali Makanan yang diiktiraf.
Semasa berniaga, pengendali makanan hendaklah memakai pakaian pelindung seperti penutup kepala, apron, pelitup muka dan kasut bertutup.
Pakaian pelindung ini perlu dipakai ketika berada di tapak bazar dan bukannya digunakan sejak dari rumah.
Bukan itu sahaja, pengendali makanan juga tidak dibenarkan memakai jam tangan, gelang, cincin atau sebarang aksesori yang boleh menyebabkan pencemaran makanan.
Bagi anda yang bertudung, pastikan tidak mempunyai aksesori berlebihan dan tidak menggunakan pin berjuntai manakala tidak bertudung pula, rambut hendaklah diikat kemas dan ditutup dengan sempurna.
Amalan mencuci tangan secara kerap terutamanya selepas mengendalikan bahan mentah, wang atau perkara yang berisiko mencemarkan makanan, adalah sangat penting dan tidak boleh diabaikan.

4. Kain pengelap
Penggunaan kain pengelap yang bersih adalah satu keperluan bukannya pilihan.
Kain yang digunakan hendaklah bersih dan dikhaskan untuk tujuan tertentu sahaja dan elakkan menggunakan kain buruk tidak dibasuh dengan sempurna.
Selain itu, penggunaan surat khabar sebagai alas meja atau tempat meletakkan peralatan makanan adalah tidak dibenarkan kerana boleh mencemarkan makanan.
Kain pengelap perlu dicuci dan diganti secara berkala bagi memastikan kebersihannya sentiasa terpelihara.
