Hukum kunyah sisa makanan ketika solat, batal atau tidak? Ini penjelasan Ustaz Azhar Idrus
SETIAP orang pasti pernah berdepan situasi sisa makanan terselit di celah gigi dan ia hanya disedari ketika sedang menunaikan solat.
Keadaan itu kadangkala menimbulkan rasa tidak selesa malah ada yang bimbang sisa makanan tersebut akan membatalkan solat atau mengurangkan pahala jika dikunyah kerana melibatkan pergerakan mulut sama seperti makan.
Persoalannya, adakah perbuatan itu dibenarkan dan boleh menjejaskan solat?
Menerusi satu hantaran di Facebook, pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan hukum berkaitan isu ini serta perkara yang perlu diberi perhatian oleh umat Islam.
Menurutnya, solat seseorang tidak batal jika terdapat sisa makanan di dalam mulut sama ada yang melekat di celah gigi atau berada di atas lidah selagi ia tidak ditelan.
Hukum sama turut terpakai sekiranya masih terdapat rasa manis atau masam pada lidah asalkan seseorang itu tidak menelannya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa jika seseorang dengan sengaja menelan sisa makanan tersebut walaupun sedikit maka solatnya terbatal.
Dalam penjelasan sama, Ustaz Azhar Idrus berkata, sekiranya seseorang hanya menggerakkan sisa makanan itu menggunakan lidah sehingga ia keluar, perbuatan tersebut tidak membatalkan solat kerana lidah dikategorikan sebagai 'anggota ringan'.
Bagaimanapun keadaan berbeza jika seseorang menggerakkan dagu atau rahang sehingga kelihatan seperti sedang mengunyah.
Menurutnya lagi, jika pergerakan tersebut dilakukan sebanyak tiga kali berturut-turut maka solat menjadi batal kerana dagu termasuk dalam kategori anggota yang berat dan tiga kali pergerakan berturut-turut dikira sebagai pergerakan yang banyak.
MENARIK DIBACA: Tukar 'mall' jadi sawah usaha didik generasi moden hargai petani, sedar kepentingan sektor pertanian
MENARIK DIBACA: Warung nasi lemak kegemaran tutup seminggu, pelanggan pelik pemilik kata 'buka macam biasa'
Beliau turut memetik pandangan Syeikh Ibnu Hajar dalam Kitab Minhajul Qawwim:
( أو فعل ثلاثة أفعال متوالية ) بأن لا يعد عرفا كل منها منقطعا عما قبله ( كثلاث خطوات ) وإن كانت بقدر خطوة مغتفرة أو مضغات ثلاث ( أو حكات ) متوالية
"(Atau perbuatan tiga kali berturut-turut) yang pada biasanya tidak dilihat sebagai pergerakan berasingan dengan sebelumnya (seperti tiga langkah) sekali pun dengan kadar melangkah yang dimaafkan atau mengunyah tiga kali (atau menggaru) berturut-turut."
Jelas beliau, maksud pandangan tersebut ialah solat terbatal apabila seseorang dengan sengaja melakukan tiga pergerakan berturut-turut tanpa berhenti, walaupun pergerakan itu pada asalnya dibenarkan oleh syarak.
Antara contoh yang diberikan ialah melangkah ke hadapan untuk menggantikan imam yang terbatal solatnya, menggerakkan dagu dan rahang seperti mengunyah sebanyak tiga kali berturut-turut atau menggaru secara berturut-turut.
Kesimpulannya, jika sisa makanan itu jelas dan boleh dikeluarkan, contohnya sebutir nasi, cebisan daging atau serpihan makanan yang masih boleh dikunyah seseorang itu sengaja menelannya, solat terbatal menurut pandangan majoriti ulama kerana ia dianggap seperti makan ketika solat.
Dalam situasi sisa makanan tersangkut di celah gigi, tertanggal sendiri dan terus tertelan bersama air liur tanpa disengajakan serta sukar dielakkan, kebanyakan ulama memaafkan keadaan tersebut dan solat tidak batal.