Cara unik makan buah dabai, 'superfood' dari Borneo! Sekali makan mesti teringat-ingat
BUAH dabai mungkin kedengaran asing di telinga orang semenanjung Malaysia, tetapi bagi masyarakat di Sarawak, dabai merupakan buah bermusim yang sangat istimewa kerana keunikan rasanya yang tersendiri.
Dabai atau juga dikenali sebagai zaitun Borneo merupakan sejenis buah-buahan bermusim antara Oktober hingga Disember dari Sarawak, khususnya di bahagian Sibu, Kapit, Sarikei dan Song.
Hantaran seorang pengguna di Threads dikenali sebagai Shida mencuri perhatian apabila dia berkongsi cara makan dabai yang dianggap unik sehingga ramai netizen lain terutama dari Semenanjung tertanya-tanya tentang rasanya.

"Dabai ni antara buah kalau orang luar tengok, mesti tertanya-tanya macam mana nak makan.
"Orang Sarawak mesti tahu. Caranya rendam je dalam air panas (suam). Lepas tu mesti susah nak berhenti makan.
"Ada orang masak sambal atau makan dengan kicap. Unik tapi sedap!" kongsinya.
Bagi menikmati buah yang memiliki kulit hitam berkilat dengan isi kekuningan apabila masak itu, ia perlu direndam terlebih dahulu dalam air suam selama beberapa minit supaya isinya lembut.
MENARIK DIBACA: Ramai ugut boikot, penjual 'jacket potato' mohon maaf usir peniaga buka gerai di lokasi sama
MENARIK DIBACA:Masak tak sampai 10 minit, sardin tumis daun leek sedap lain macam!
Lebih unik, dabai dikatakan memiliki rasa berlemak seperti mentega, malah enak jika dimakan bersama nasi panas.
Menerusi beberapa komen yang ditinggalkan pengguna Threads, mereka turut berkongsi cara menikmati dabai mengikut selera dan cita rasa masing-masing.
"Kalau siang tu cuaca panas terik, cuci dulu buah dabai dan masukkan dalam bekas. Letak minyak masak sikit dengan kicap manis dan kicap pedas kemudian gaul dengan sedikit gula. Bila dah lembut boleh makan. Sumpah sedap!
"Saya suka buat nasi goreng dabai. Ya Allah sedapnya!
"Jangan rendam dengan air panas, nanti dabai rasa masam. Rendam dengan air suam, kemudian gaulkan dengan kicap dan gula. Sekali makan pasti teringat-ingat," antara komen penggemar dabai.

Selain memiliki rasa enak dengan cara makan tersendiri, dabai juga mempunyai banyak khasiat sehingga digelar sebagai 'superfood' dari Borneo.
Buah ini kaya dengan lemak sihat, antioksidan tinggi serta pelbagai vitamin dan mineral yang penting untuk badan.
Antara khasiat utama buah dabai berdasarkan kajian sains adalah seperti berikut:
1. Tinggi antioksida
2. Menjaga kesihatan jantung
3. Melancarkan sistem penghadaman
4. Membantu mengawal gula dalam darah
5. Menguatkan tulang dan gigi
6. Melindungi fungsi otak
7. Bersifat antibakteria