Ambil iktibar kisah 3 individu mengalah, serah makanan iftar kepada sekeluarga lewat tiba di masjid
RAMADAN sering dikaitkan dengan ujian, kesabaran dan semangat berkongsi rezeki.
Di Threads, seorang wanita berkongsi tentang situasi yang dilihatnya yang mana pasangan suami isteri bersama tiga anak tiba agak lewat di masjid untuk berbuka puasa dan makanan sudah habis.
"Lagi tiga ke empat minit dah nak berbuka puasa, datang satu famili berlima (tiga anak) di masjid tempat kami berbuka. Waktu mereka sampai makanan dah habis.

"Kami ajak selit-selit dengan dulang orang lain tapi mereka tak mahu. Lepas tu buat muka kesian.
"Sampaikan AJK masjid cakap, 'tak ada orang berhati besar kat sini nak bagi satu dulang untuk mereka'," ceritanya.
Mendengar kata-kata AJK masjid, tiga individu yang duduk di sebelahnya terus meninggalkan dulang mereka untuk diberikan kepada keluarga tersebut sebelum keluar dari masjid.
Wanita itu tidak pasti ke mana hala tuju ketiga-tiga mereka dan di mana mereka berbuka puasa.
MENARIK DIBACA: [V] Sah jus tembikai ini tak campur air! Peniaga terkejut gerai diserbu, isteri awalnya was-was idea 'piyor'
MENARIK DIBACA:Nama Musang King hak milik Malaysia, negara lain tak boleh suka-suka guna – Mat Sabu
"Kita datang lambat ni sepatutnya bertindak bijak. Tak payah nak buat muka simpati macam tak ada pilihan lain. Situasi tak cukup makanan infak di masjid ni, saya pernah lalui dan tindakan kami adalah berterima kasih pada AJK masjid dan pergi ke tempat lain.
"Cari makanan bazar kalau masih ada atau terus ke kedai makan. Kalau tak sempat, berbuka je minum air atau makan kurma dan kena selalu ada dalam kereta, lepas solat Maghrib cari kedai makan," dia menceritakan pengalamannya.

Kisah ini tidak habis setakat itu apabila dia memberitahu melihat keluarga berkenaan sebenarnya ada membawa makanan sendiri dalam plastik berkemungkinan kuih-muih untuk berbuka.
"Famili berlima ni bukan tak ada makanan langsung, mereka bawa berbungkus beg plastik berisi makanan mungkin kuih muih.
"Jangan sebab kita lambat sampai orang lain kena berkorban demi memenuhi konteks 'berbesar hati'. Patutnya yang jadi manusia berbesar hati mengambil tindakan lebih bijak," katanya.

Di ruangan komen, ada warganet yang bersetuju dengan konteks berbesar hati dan ada juga yang menekankan pentingnya pertimbangan logik dalam situasi sebegini.
"Setuju dengan 'statement' akak ni, 'common sense'. Kita mai lambat, kita yang perlu jadi bijak menilai situasi.
"Awak sampaikan satu pengajaran baik, cukup-cukuplahlah husnuzon dengan orang pentingkan diri, habis tu tiga orang bangun keluar tu mungkin datang masjid awal sebab dah lama tak makan nasi juga, mungkin pelajar yatim, pahala memang pahala tapi cerita nak disampaikan ni adalah, logik akal.
"Saya sangat tak suka masjid bagi berbuka puasa guna dulang. Inilah antara situasi akan berlaku. Sebagai introvert dan 'penggeli' memang tak akan kongsi satu dulang sebab mesti kuah kena air tangan orang lain dan tak semua jaga kebersihan diri.
"Kalau boleh kena bersedia makanan mungkin habis kalau datang waktu akhir. Bawalah sikit kurma dan air kosong. Saya tak tahu maksud ajak selit dengan dulang orang lain tapi rasanya keluarga tu tak mahu berpecah untuk makan dengan dulang lain," antara komen netizen.