Cemas campur lucu! Chef Wan perjelas insiden cuit Iddin Ramli khusyuk berdoa ketika 'live' program TV
TINDAKAN cef selebriti, Datuk Chef Wan mencuit bahu pendakwah, Iddin Ramli ketika siaran langsung sebuah program televisyen mengundang perhatian netizen.
Tampil memberi penjelasan, Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuan Ismail , 69, berkata dia bertindak sedemikian setelah menerima isyarat daripada kru produksi supaya Iddin segera menamatkan bacaan doa.
Menurutnya, bacaan doa pendakwah itu terlalu panjang sehingga hampir memasuki waktu berbuka puasa.

“Iddin mungkin tidak perasan keadaan semasa, dia membaca doa yang agak panjang dengan penuh khusyuk sehingga menutup mata.
“Di hadapan kami, floor manager dan kru produksi sudah beberapa kali memberi isyarat supaya segera menamatkan segmen, namun Iddin tidak menyedarinya.
“Saya kemudian diminta oleh floor manager untuk menegurnya supaya mengakhiri doa,” katanya.
MENARIK DIBACA: [V] ‘De Wan 1958’ buka cawangan di The Exchange TRX, usaha Chef Wan martabat masakan Melayu
MENARIK DIBACA: [V] Gulai rebah bangun ayam memikat hati, Chef Wan angkat 6 juadah semakin dilupakan sempena Hari Kebangsaan
Chef Wan menjelaskan perkara itu menerusi hantaran gambar di laman TikTok miliknya pada Selasa.
Tambah Chef Wan, pada awalnya dia berasa serba salah kerana bimbang tindakannya mungkin disalah tafsir, namun tetap patuh dengan arahan pihak produksi.
“Saya risau juga jika tindakan itu mengundang salah faham, tetapi keadaan sudah mendesak kerana waktu azan hampir tiba.
“Akhirnya saya cuit beliau dan ketika itu barulah beliau membuka mata," ujarnya.
Dalam pada itu, Chef Wan berpandangan insiden sedemikian adalah lumrah dalam menghasilkan program siaran langsung dan tidak wajar diperbesarkan.
Bagaimanapun, dia tetap menganggap ia merupakan pengalaman yang melucukan sepanjang penglibatannya dalam program itu.

“Dalam siaran langsung, masa sangat terhad dan perlu dipatuhi. Tambahan pula ketika waktu berbuka, azan tidak boleh dilewatkan dan program juga tidak boleh dilanjutkan.
“Keadaan ketika itu agak kelam-kabut, hos juga tersipu-sipu melihat saya panik apabila Iddin tidak membuka mata.
“Namun, ia tetap menjadi pengalaman yang menghiburkan buat kami semua,” katanya.
Sebelum ini, tular klip rakaman memaparkan aksi Chef Wan mencuit Iddin ketika pendakwah itu sedang khusyuk membaca doa dalam program Borak Dulu Baru Buka yang ditayangkan di saluran TV1.