Nenek 100 tahun jadi bintang mukbang, video makan ketam buat netizen kagum
BIASANYA kebanyakkan golongan tua lebih cenderung memilih makanan hambar demi menjaga kesihatan, namun lain pula ceritanya dengan warga emas seorang ini.
Nenek berusia 100 tahun dikenali sebagai Zhong Wenyu mencuri perhatian ramai selepas aktif mencipta kandungan makanan atau content mukbang di media sosial.
Bukan sekadar hidangan tradisional, Zhong juga terbuka menikmati pelbagai makanan dan minuman moden seperti kopi, teh susu, aiskrim atau soda.

Memetik laporan South China Morning Post, anak perempuan Zhong iaitu Zhang memberitahu ibunya seorang pencinta makanan, malah rutin hariannya adalah memesan makanan di platform atas talian.
"Ibu saya mempunyai personaliti dan gaya hidupnya berbeza daripada kebanyakan warga tua.
"Saya tidak sangka begitu ramai orang suka menonton video makannya. Tak dirakam pun, ibu saya memang suka makan," katanya.
Populariti 'segera' diraih Zhong selepas video dirinya menikmati hidangan ketam tular di aplikasi Douyin.
MENARIK DIBACA: ‘Mola-mola’ hanya buat video masak, sekarang Kakcik Yah sibuk reviu makanan... Ada sanggup datang rumah hantar produk!
MENARIK DIBACA: Berendam dalam ‘Hotpot Spring’ jadi kegilaan, boleh pilih sup pedas atau sayur
Sejak itu, aksi Zhong menjamah makanan sering diramkan kemudian dikongsi oleh cucunya menerusi laman akaun diberi nama'100-year-old sister Zhong'.
Meskipun usianya mencecah seabad, Zhong tidak pernah menetapkan sebarang pantang larang dalam pemilihan makanan.
"Selain paras gula dan tekanan darah, pemeriksaan kesihatan ibu saya semuanya normal.
"Dia sudah sangat tua, tidak perlu lagi dibatasi soal makanan. Kami biarkan dia makan apa sahaja yang dia suka," ujarnya lagi.

Selain mempunyai nafsu makan, rahsia umur panjang Zhong terletak pada pola hidupnya yang positif serta keupayaannya mengikuti perkembangan zaman.
"Dia tidak pernah mengeluh tentang kekurangan orang lain, hanya melihat sisi baiknya. Dia optimis dan puas dengan hidupnya," jelasnya.
Benarlah kata orang usia bukan penghalang untuk seseorang terus menikmati kehidupan termasuk makan makanan sedap.