Dari medan perang ke meja makan, ini sejarah terciptanya mayonis
SOS mayonis hari ini dianggap sebagai bahan asas di kebanyakan dapur rumah.
Tekstur lembut dengan rasa lemak berkrim, menjadikan mayonis antara sos guna pelengkap sempurna untuk aneka salad, sandwic, burger, kentang goreng dan sajian barat lain.
Namun, di sebalik populariti meluas, kisah mayonis sebenarnya agak menarik kerana sos ini bukan bermula di dapur mewah sebaliknya di tengah satu peristiwa peperangan.
Mayonis tercipta sekitar 1756, pada Perang Tujuh Tahun yang ketika itu, tentera Perancis dipimpin oleh Duke de Richelieu menawan pelabuhan Mahon di Pulau Menorca (kini sebahagian daripada Sepanyol).

Bagi meraikan kemenangan ini, tukang masak menyediakan sos istimewa menggunakan bahan-bahan mudah diperoleh iaitu telur dan minyak.
Pada asalnya, sos ini dikenali sebagai sauce mahonnaise, mengambil nama bandar Mahon.
Lama-kelamaan, sebutan dan ejaannya berubah menjadi mayonnaise, seperti dikenali hari ini.
Sos ini dianggap unik kerana tidak dimasak menggunakan api, sebaliknya dihasilkan melalui proses emulsi, gabungan kuning telur dan minyak dipukul sehingga menjadi pekat dan berkrim.

Sos bangsawan
Pada peringkat awal, mayonis adalah sajian eksklusif hanya dinikmati golongan bangsawan Eropah, khususnya di Perancis.
Ia sering dihidangkan bersama hidangan daging sejuk, ikan dan sayur-sayuran rebus.
Kehalusan tekstur dan rasanya kaya menjadikan ia simbol kemewahan dan kepakaran kulinari.
Namun, seiring perkembangan zaman dan penyebaran budaya makanan Perancis ke negara lain, mayonis mula dikenali secara meluas.

Pada abad ke-19, resipi mayonis muncul dalam buku masakan, menjadikannya lebih mudah dihasilkan di rumah.
Ketika itu juga, variasi mayonis mula berkembang dengan penambahan bahan seperti cuka, jus lemon dan mustard untuk menyesuaikan cita rasa tempatan.
Revolusi industri
Perubahan besar dalam sejarah mayonis berlaku pada awal abad ke-20 dengan kemunculan pengeluaran makanan secara komersial.
Di Amerika Syarikat, mayonis mula dihasilkan secara besar-besaran dan dijual dalam botol.

Ini menjadikan sos tersebut lebih tahan lama, konsisten dari segi rasa, dan mudah diakses oleh orang ramai.
Jenama-jenama terkenal mula memperkenalkan mayonis sebagai pelengkap wajib untuk sandwic dan salad.
Di sinilah peranan mayonis sebagai penambah rasa benar-benar menyerlah bahkan menjadi bahan asas mengikat rasa dalam hidangan seperti salad kentang, coleslaw dan pelbagai jenis dressing.