Ekstrak Vanila bahan kedua termahal di dunia selepas safron
EKSTRAK vanila sering dianggap sebagai bahan biasa kerana kerap digunakan dalam kek, aiskrim, coklat, minuman dan pencuci mulut.
Permintaan tinggi menjadikan ekstrak vanila sebagai 'emas cair' dalam dunia kulinari dan industri wangian bahkan menjadi rempah kedua termahal di dunia selepas safron dengan harga pasaran sekitar RM3,260 (USD800) sekilogram.
Harga ekstrak vanila ini dikatakan mahal berikutan proses pertanian sangat rumit dan berisiko.
Vanila asli dihasilkan daripada orkid Vanilla planifolia, satu-satunya spesies daripada lebih 100 jenis orkid mampu menghasilkan buah vanila.

Tanaman ini sangat cerewet dan memerlukan tempoh hampir empat tahun untuk mengeluarkan bunga buat kali pertama. Lebih mencabar, bunga ini hanya mekar satu hari sahaja dalam setahun.
Jika pendebungaan tidak berlaku dalam tempoh beberapa jam tersebut, bunga akan gugur dan tiada buah akan terhasil.
Di kebanyakan kawasan pengeluaran, khususnya di Madagascar, pendebungaan dilakukan secara manual oleh petani berpengalaman menggunakan kayu kecil dan pergerakan jari sangat tepat untuk melakukan pendebungaan satu persatu.
MENARIK DIBACA: Hanya bermodalkan RM500, bekas model ini ubah mi segera jadi sumber rezeki
Keperluan ini wujud kerana pokok vanila bukan tumbuhan asal Madagascar dan pendebunga semula jadinya tidak wujud di pulau tersebut.
Ini menjadikan proses pendebungaan sebagai satu ritual harian memerlukan ketelitian tinggi sepanjang musim berbunga singkat.

Madagascar pula menghasilkan kira-kira 80 peratus bekalan vanila dunia menjadikan pasaran global sangat bergantung kepada keadaan cuaca di pulau ini.
Sekitar 2017, Taufan Enawo memusnahkan ribuan ladang vanila, menyebabkan harga vanila melonjak sehingga 10 kali ganda berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Kesan ini dirasai secara global, sehingga menjejaskan industri aiskrim, coklat dan minyak wangi di seluruh dunia.
Selepas pendebungaan berjaya, buah vanila memerlukan lapan hingga 10 bulan untuk matang dan buah vanila pula perlu melalui proses pengawetan kompleks melibatkan fermentasi serta pengeringan selama beberapa bulan lagi.

Proses inilah membentuk sebatian rasa dan aroma vanila unik malah tidak dapat ditiru sepenuhnya lebih lagi menggunakan bahan sintetik.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, peningkatan permintaan terhadap produk semula jadi terutama ekstrak vanilla memberi tekanan besar kepada rantaian bekalan sedia terhad.
Masalah kecurian buah vanila juga menjadi semakin serius di Madagascar, sehingga ada petani terpaksa menuai buah lebih awal bagi melindungi hasil tanaman mereka walaupun tindakan ini menjejaskan kualiti vanila.
Perkara ini secara tidak langsung menunjukan vanila antara bahan ringkas di dapur sebenarnya memiliki nilai luar biasa di pasaran dunia, sekali gus mengubah persepsi terhadap perisa selama ini dianggap sekadar pelengkap rasa.