Dari Kelantan ke London... Jual nasi kerabu di taman, pendapatan lelaki ini cecah RM2 juta setahun
TIDAK berlebihan jika dikatakan kulinari Malaysia antara terbaik di dunia kerana kepelbagaiannya yang menjadikan ia unik dan enak.
Malah beberapa makanan ikonik negara ini seperti roti canai, rendang, nasi lemak turut diperakui sebagai antara juadah paling enak di dunia.
Maka tidak hairan mencari restoran yang menjual makanan Malaysia di bandar metropolitan dunia seperti di London, New York dan Korea Selatan.
Jika itu tidak memadai, juadah istimewa dari Kelantan iaitu nasi kerabu pernah diangkat sebagai juara dalam pertandingan kulinari peringkat antarabangsa.

Nasi kerabu sekali lagi membuktikan keistimewaannya apabila ia menarik perhatian penduduk di London yang cukup menggemari hidangan tradisional itu.
Menerui perkongsian video dimuat naik akaun TikTok @christhechindian, Chris bertemu dengan sebuah gerai kecil yang diberi nama Eat Lah di sebuah taman terbuka di London.
Chris terkejut dimaklumkan pemiliknya meraih pendapatan mencecah £400,000 (RM2.18 juta) setahun dengan menjual nasi kerabu tersebut.
Bercerita mengenai Eat Lah, pemiliknya Robert Ngo memberitahu dia mula membuka gerai tersebut bersama keluarga sejak 2019 selepas meninggalkan kerjaya sebagai seorang arkitek.

Lelaki berbangsa Cina kelahiran Britian ini memberitahu berniaga sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya memandangkan bapanya pernah memiliki sebuah restoran sebelum ini.
"Sebelum ini saya merupakan seorang arkitek selama 10 tahun dan meninggalkan kerjaya tersebut disebabkan hilang rasa minat.
"Saya mengambil keputusan membuka bisnes nasi kerabu kerana bapa saya pernah memiliki sebuah restoran sebelum ini, malah saya juga dibesarkan dalam suasana dikelilingi makanan," katanya.
Idea menjual nasi kerabu juga datang daripada isterinya iaitu Mel yang juga seorang rakyat Malaysia berasal dari Kelantan.
MENARIK DIBACA: Tak payah sayang terus buang! Bahaya guna kuali teflon bercalar, tingkat risiko kanser
MENARIK DIBACA: [V] Patutlah badan sado, selain bersenam ini rahsia diet Que Haidar
Mel kata Robert, mahu membawa 'rasa' tempatan ke London sebagai pengubat rindu kepada kampung halaman dan ternyata ramai masyarakat di sana menyukai hidangan itu.
Menerusi video yang dikongsikan, dengan hanya memacak kanopi seperti gerai di Malaysia, Eat Lah dikunjungi ramai pembeli.
Beberapa pembeli yang ingin mencuba hidangan itu berasa teruja dan tertanya-tanya mengenai nasi berwarna biru.
Jelas Robert, dia sebenarnya perlu mengambil masa untuk memperkenalkan makanan yang dijual kerana tidak ramai yang tahu tentang nasi kerabu di London.

"Pada awal-awal dahulu pernah hanya sebungkus sahaja nasi kerabu yang terjual.
"Sejujurnya saya ambil masa juga untuk memperkenalkan tentang makanan yang dijual kerana tidak semua orang sini (London) tahu tentang nasi berwarna biru ini.
"Tapi sekarang saya mampu menjual sehingga 300 kotak nasi kerabu sehari," katanya.
Sementara itu, kejayaan Eat Lah tidak terhenti di situ apabila Robert dan isterinya membuka sebuah restoran iaitu Ong Lai Kopitian di Wood Wharf.