Air Zamzam diguna bancuh latte, video influencer cetus perdebatan
KHASIAT air zamzam bukan sahaja dikenali dalam masyarakat beragama Islam tetapi khasiatnya mula mendapat perhatian dunia.
Air berasal dari telaga tidak pernah kering sejak ribuan tahun ini menjadikannya antara sumber mata air paling unik di dunia.
Kandungan mineral stabil dengan tahap kebersihan tinggi menjadikan air zamzam diminum untuk menyegarkan tubuh.

Kini, di era media sosial, air ini bukan sahaja diminum secara tradisional tetapi diolah menjadi minuman kopi premium.
Terkini, tular pula satu video daripada seorang wanita Barat dikenali sebagai The Blonde Muslim di TikTok menggunakan air zamzam membancuh latte kegemarannya.
Wanita ini merakam proses membancuh latte menggunakan air zamzam dicurahkan terus ke dalam cawan sehingga terhasilnya secawan latte istimewa.
MENARIK DIBACA: Kongsi resipi masakan Cina versi halal, percubaan Jia Le Woh erat perpaduan melalui makanan berjaya
MENARIK DIBACA: Jarang ada peniaga jual, pempengaruh kongsi resipi mudah buat tepung bungkus
Menerusi kapsyen, dia berseloroh bahawa stok air zamzam miliknya mungkin cepat habis kerana kerap dijadikan bahan utama minuman tersebut.
Namun, percubaan kreatif ini mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.
Ada yang menegur supaya menikmati air ini dengan cara tradisional dan penuh adab.

“Air ini tak wajar dicampur bahan lain apatah lagi dijadikan kopi kerana setiap tegukan biasanya disertai doa khusus.
“Lebih baik amalkan air zamzam secara tradisional kerana khuatir khasiatnya hilang,” komen diberi netizen.
Video ini tetap meraih tontonan tinggi dan menjadi perbincangan hangat tentang batas penggunaan air ini serta sensitiviti masyarakat terhadapnya.