Madu boleh tahan bertahun-tahun, kalau cepat rosak petanda bukan asli
RAMAI menjadikan madu sebagai salah satu makanan tambahan kerana ia kaya dengan khasiat semula jadi untuk kesihatan.
Madu bukan sahaja makanan diamalkan Rasulullah SAW malah sering disebut dalam al-Quran sebagai antara penawar untuk pelbagai penyakit.
Di sebalik sifatnya sebagai pemanis semula jadi, madu mengandungi banyak enzim dan khasiat organik yang membuatnya kekal tahan lama.
Malah, tahukah anda bahawa madu asli bahkan boleh tahan bertahun-tahun tanpa rosak?
Sebenarnya banyak fakta mengenai madu yang mungkin ramai tidak tahu!

1. Madu tulen tidak boleh basi
Madu asli yang tidak dicampur bahan lain boleh disimpan bertahun-tahun lama tanpa menjadi basi.
Jika ada tarikh luput, biasanya itu kerana madu dicampur bahan tambahan atau tarikh tersebut merujuk kepada jangka hayat pembungkusan.
Untuk memastikan madu asli dan berkualiti, beli daripada pengeluar yang jelas dan dipercayai.
Hindari madu yang mungkin dicampur bahan lain semata-mata untuk keuntungan.

2. Kandungan gula lindungi madu
Madu tulen mengandungi kira-kira 80 peratus gula semula jadi.
Kandungan gula yang tinggi ini membuat persekitaran sukar bagi bakteria atau mikroorganisma untuk berkembang.

3. Enzim semula jadi membantu mencegah bakteria
Dalam madu terdapat enzim glukosa oksidase daripada air liur lebah semasa madu dihasilkan.
Enzim ini menekan pertumbuhan bakteria dan membantu madu tetap tahan lama.
Walaupun madu tidak basi kualitinya boleh menurun jika proses pengeluaran kurang bersih atau madu tercemar mikroorganisma.
Racun semula jadi dari tumbuhan juga kadang-kadang boleh terbawa melalui air liur lebah.