[V] Syurga makanan Timur Tengah di Halab Gate, harga pula mesra poket!
JUADAH dari negara Timur Tengah sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat di Malaysia seperti nasi arab, shawarma dan falafel.
Lihat sahaja kalau ke Bukit Bintang, Kuala Lumpur, restoran menyajikan aneka pilihan makanan dari Timur Tengah cukup banyak sehingga sukar untuk membuat pilihan.
Tapi salah satu restoran yang sedang menjadi tumpuan dan pilihan pengunjung adalah Halab Gate Restaurant yang terletak berhampiran pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur.
Restoran ini bukan sahaja menyajikan aneka pilihan makanan Timur Tengah dengan cita rasa autentik tetapi mempamerkan keindahan seni dan budaya masyarakatnya.

Saat kaki melangkah masuk, anak mata tertancap pada susun atur dan dekorasi indah yang mewarnai ruang dalam restoran dengan sentuhan Mediterranean.
Seketika, aroma daging kebab yang dibakar menguasai segenap ruang, sekali gus membuatkan perut kosong mula berkeroncong.
Di Halab Gate Restaurant, terdapat lebih daripada 50 jenis hidangan daripada sajian berat hingga aneka pilihan pencuci mulut menanti pengunjung.
Kuali yang berkesempatan berkujung ke restoran itu baru-baru ini, menjadi rambang mata untuk memilih aneka makanan enak yang bukan sahaja menggiurkan tetapi mesra poket.

Selepas membelek buku menu, Kuali memilih untuk mencuba hidangan Haneeth Chicken sebagai makanan utama.
Haneeth Chicken merupakan sajian nasi Arab dihidangkan bersama suku ekor ayam yang diperap dengan rempah-ratus istimewa untuk membangkitkan sensasi rasa pedas pada lidah.
Nasi yang dihidangkan juga enak apabila ditaburi dengan aneka jenis kekacang seperti gajus dan badam bersama kismis sebagai penambah rasa.
Tidak lengkap rasanya jika tidak mencuba hidangan shawarma yang menjadi identiti makanan masyarakat Timur Tengah.
MENARIK DIBACA:Kopi paling mahal di dunia ada di Dubai, RM4,000 secawan!
MENARIK DIBACA:[V] Rosnah Johari masih kekal cantik di usia 62 tahun, amal suplemen sejak muda
Menu yang menjadi pilihan ialah Arabic Mix Shawarma Platter yang menghidangkan gabungan antara shawarma ayam dan juga kambing.
Bagi penggemar daging kambing, sejujurnya shawarma yang dihidangkan memiliki aroma dan rasa kambung yang cukup kuat namun masih lagi menyelerakan.
Arabic Mix Shawarma Platter berharga RM38 ini turut dihidangkan bersama kentang goreng yang ditaburi serbuk cili bersama jeruk timun, serta tiga jenis sos iaitu mayonis, mastard pedas dan sos cili.
Untuk manisan pula, Kunafa Pistachio menjadi pilihan tepat buat anda yang tidak begitu menyukai makanan manis.

Sirap gula yang dicurah di atas kunafa dan ditaburi kacang pistachio memberikan keseimbangan pada rasa sehingga membuatkan anda tidak berasa muak ketika menikmatinya.
Saiz setiap hidangan yang disajikan juga besar dan boleh dikatakan berbaloi dengan harga yang ditawarkan.
Bagi anda yang ingin merasai kelainan pada suasana, Halab Gate Restaurant menjadi lokasi patut kunjungi.
Anda juga bakal menikmati kemeriahan suasana Bukit Bintang yang dikelilingi kerlipan lampu neon jika makan di tingkat paling atas restoran pada waktu malam.